KUALA LUMPUR- Letusan gunung berapi Anak Krakatau sehingga menyebabkan tsunami di Selat Sunda pada malam Sabtu lalu bukanlah letusan yang terbesar.
Ketua Pusat Data dan Informasi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sejak tiga bulan lalu hampir setiap hari Gunung Anak Krakatau meletus dan letusan terbesar pernah berlaku di antara bulan Oktober dan November yang lalu sehingga ia diletakkan di bawah status berjaga-jaga (paras 2) dengan radius berbahaya dua kilometer dari puncak kawah.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran terperinci mengapa letusan terbaharu itu mampu mencetuskan tsunami yang setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 222 nyawa.
Apa yang pasti menurut Sutopo, ketiadaan alat pengesan tsunami dan sistem peringatan menyebabkan bencana tersebut tidak dapat dikesan dengan lebih awal menyebabkan orang ramai tidak dapat dibawa keluar ke tempat yang lebih selamat.
Jelasnya, Indonesia masih belum memiliki sistem peringatan tsunami yang disebabkan oleh gerakan bawah laut dan letusan gunung berapi.
Negara tersebut hanya memiliki sistem peringatan tsunami yang disebabkan gempa sahaja.
Malah jaringan buoy tsunami di perairan Indonesia juga sudah tidak beroperasi sejak 2012.
Vandalisme, kurang peruntukan, kerosakan teknikal menyebabkan ketiadaan buoy tsunami.
“Yang ada saat ini sistem peringatan yang dibangkitkan gempa. Sistem sudah berjalan baik. Kurang dari 5 minit setelah gempa BMKG dapat memberitahukan kepada orang ramai.
“Indonesia harus membangun sistem peringatan dini yang dibangkitkan longsor bawah laut & erupsi gunungapi. Adanya gempa menyebabkan longsor bawah laut lalu memicu tsunami diantaranya tsunami Maumere 1992 dan tsunami Palu 2018,” katanya di hantaran Twitternya hari ini.
Tambah Sutopo terdapat 127 gunung berapi atau kira-kira 13 peratus gunung berapi di dunia terletak di Indonesia.
Apa yang lebih membimbangkan, ada di antara gunung-gunung berapi tersebut berada di laut dan pulau kecil yang boleh menyebabkan tsunami apabila meletus.
“Tentu ini menjadi tentangan bagi PVMBG, BMKG, K/L dan perguruan tinggi membangun peringatan dini.
“Bencana lain seperti banjir, gempa bumi, letusan gunung berapi, kebakaran hutan, kemarau, puting beliung juga memerlukan sistem peringatan. Belum semua daerah terdedah bencana ada sistem peringatan dini,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette