KUALA LUMPUR – Selang beberapa jam selepas mendapat teguran keras daripada ‘bos’, akhirnya Setiausaha kepada Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, Rozan Azen Mat Rasip menukar fikiran dan membuat menarik kembali peletakan jawatannya.
Malah Rozan juga memohon maaf atas tindakan terburu-burunya meletak jawatan selain daripada mengeluarkan kenyataan Sabtu lepas.
Rozan dipercayai bertindak demikian selepas mendapat arahan oleh Ketua Cabang Batu, Tian Chua yang juga memberi tempoh masa 24 jam untuk segera ‘berbaik semula’ selain tidak bergaduh di depan mata umum seperti sebelum ini.
Rozan yang juga Naib Ketua PKR Cabang Batu dalam kenyataan berkata, dirinya membuat keputusan untuk menarik kembali keputusan itu sejurus selepas mengambil kira desakan serta ‘rayuan’ pelbagai pihak.
“Saya tarik balik selepas mengambil pandangan sejumlah besar pimpinan Batu dan juga orang awam di kawasan ini.
“Keseluruhan Batu mahu saya kekal di Parlimen Batu dengan jawatan serta tugasan yang telah saya sandang 2010 lagi iaitu di bawah dua Ahli Parlimen sehingga kini.
“Tindakan menarik balik ini juga telah saya lakukan setelah mendapat nasihat daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mahu jalan penyelesaian yang lebih baik.
“Dalam pada masa yang sama, saya juga ingin memohon maaf kepada masyarakat umum seandainya insiden ini telah menyusahkan atau mengakibatkan salah faham khasnya pengundi Batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tian Chua pagi tadi telah memberikan tempoh 24 jam untuk Rozan dan Ahli Parlimen Batu, A. Prabakaran untuk menamatkan pertelagahan dan memohon maaf antara satu sama lain.
Beliau mengarahkan kedua-dua mereka berhenti membesar-besarkan isu itu dengan menyebarkan kenyataan menerusi sosial media.
“Rozan dan Praba diberi tempoh 24 jam untuk tarik balik kenyataan-kenyataan yang disiarkan sebelum ini dan memohon maaf kepada satu sama lain,” kata Tian Chua.
Dalam pada itu, Rozan juga memohon maaf berhubung tindakan beliau terhadap Prabakaran.
Usaha MalaysiaGazette untuk mendapatkan Prabakaran masih gagal dan belum mendapat sebarang maklumbalas.
Sabtu lepas, Rozan membuat kejutan apabila secara terbuka mengakui dirinya sudah tidak mampu bertahan dengan kehadiran ‘tangan ghaib’ yang berkepentingan sehingga menggangu tugasan mereka.
Bagaimanapun sehari selepas itu, Prabakaran pula mengeluarkan kenyataan kononnya beliau tidak pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya sebaliknya hanya bertugas penyelaras aduan bagi pejabat Parlimen Batu.
Malah nada keras Prabakaran juga menasihati Rozan agar mengenepikan sikap ego yang keterlaluan.
Prabakaran juga menuntut Rozan supaya lebih berhemah dan menghormati rakyat semasa melaksanakan tugas sekira mahu menjadi pemimpin yang dihormati –MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/22/tangan-ghaib-punca-setiausaha-prabakaran-letak-jawatan/