Home Sukan Pemain import Kedah ‘mai dah’

Pemain import Kedah ‘mai dah’

Foto Laman Rasmi KFA.

KUALA LUMPUR – Kedah semakin hampir melengkapkan skuadnya bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) apabila tiga pemain import baharu dijadualkan tiba pada Khamis ini.

Tiga pemain berkenaan adalah Fernando Rodriguez dari Sepanyol, pemain kelahiran Iraq, Anmar Al-Mubaraki dan pemain Singapura Shakir Hamzah.

Seorang lagi pemain import yang akan memperkukuhkan benteng Helang Merah, Renan Alves dari Brazil pula dijangka tiba sehari kemudian.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, pengurusan badan induk itu merancang untuk menyambut ketibaan empat pemain import terbabit bersama penyokong dalam satu majlis ringkas.

“Ketibaan pemain import terbabit adalah melalui penerbangan akhir yang akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar pada sebelah malam.

“Pihak pengurusan skuad Helang Merah turut dalam proses mengikat seorang lagi pemain import bagi memenuhi lima kuota yang ditetapkan dan difahamkan nama pemain berkenaan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata KFA dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Dalam perkembangan sama, KFA turut akan mengaturkan satu sesi penerangan isu semasa bersama Kelab Penyokong Kedah yang akan diadakan di Stadium Darul Aman pada jam 5 petang Khamis ini.

“Sesi pertemuan bersama Kelab Penyokong Kedah ini akan turut dihadiri oleh Naib Presiden 1, Anas Hafiz Mustaffa, Naib Presiden 2, Khamal Idris Ali dan Naib Presiden 3, Yusuri Yusoff.”

“Sesi perjumpaan ini adalah kali kedua di mana pihak pengurusan akan mengadakan dialog bersama kelab penyokong bagi berkongsi perkembangan terkini pasukan dan memberi penerangan mengenai isu semasa berkaitan bola sepak Kedah,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette