KUALA LUMPUR – Akibat tidak berhati-hati ketika menulis kenyataan media, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng secara tidak sengaja “menganugerahkan” gelaran Datuk kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Terima kasih @guanenglim kerana mengurniakan darjah kebesaran kepada saya yang membawa gelaran “Datuk”. Nanti PM detail upacara istiadat,” sindir Ahli Parlimen Rembau itu di dalam Twitternya hari ini.
Kenyataan media mengenai pertukaran formula pengiraan harga minyak bulanan kepada mingguan itu bagaimanapun ditarik balik selepas para wartawan memaklumkan setiausaha akhbar Guan Eng mengenai kesalahan tersebut.
Kenyataan media terkini yang dikeluarkan selang beberapa minit selepas itu tertera nama Khairy Jamaluddin sahaja tanpa gelaran Datuk.
Tetapi seperti yang kita semua tahu, apa yang tersiar di media sosial tidak boleh diundur walau seberapa cepat damage control dilakukan.
Nampak gayanya dalam hal ini, Khairy Jamaluddin lebih pantas.
Mungkin jika “masin mulut” Guan Eng, kita boleh panggil Datuk KJ tidak lama lagi.
Khairy sebelum itu mengulas panjang lebar mengenai harga minyak.
Menerusi hantaran di laman facebooknya, Khairy berkata, rupa-rupanya, sudah enam minggu kerajaan Pakatan Harapan mengenakan cukai ke atas jualan petrol.
“Apa maksud saya? Maksud saya sudah 6 minggu rakyat membayar LEBIH dari harga pasaran.
“Bukan setakat tidak dapat subsidi, 6 minggu rakyat bayar ‘cukai’ kepada Kerajaan setiap kali isi minyak,” katanya sambil meminta pembaca merujuk kepada infografik yang disertakan di dalam hantaran tersebut.
Petrol: Kembalikan APM bukti kaedah BN sebelum ini tepat, sesuai – Khairy
–MalaysiaGazette