Home Dunia Tsunami Banten: Angka korban meningkat 281

Tsunami Banten: Angka korban meningkat 281

gunung
Keadaan terkini gunung berapi Anak Krakatau.- Foto Agensi

KUALA LUMPUR- Jumlah kematian terkini mangsa tsunami Selat Sunda meningkat kepada 281 orang, 1,016 cedera manakala 57 lagi masih hilang.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara adalah seramai 11,687, kata Ketua Pusat Data dan Informasi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho di laman Twitternya.

Tambah beliau, sejumlah 611 buah rumah, 69 buah hotel dan villa, 60 buah kedai dan 420 kapal rosak akibat kejadian yang berlaku malam Sabtu lalu.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan penduduk di sekitar gunung berapi Anak Krakatau supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan pantai bagi mengelakkan kejadian tsunami berulang.

Ini kerana melalui video yang diambil dari udara menunjukkan gunung berapi itu masih lagi meletus.

Kejadian malam Sabtu lalu dipercayai berlaku akibat aktiviti gunung berapi Anak Krakatau yang menyebabkan tanah runtuh di dasar laut sehingga mencetuskan gelombang besar tsunami. – Agensi