Home Nasional Himpunan Untukmu Adib bermula dengan solat ghaib petang ini

Himpunan Untukmu Adib bermula dengan solat ghaib petang ini

Keadaan lalu lintas di hadapan jalan utama Masjid Bandar Diraja Klang lancar.

KUALA LUMPUR – #Himpunan Untukmu ADIB & Desakan Pecat P. Waytha Moorthy akan bermula dengan solat jenazah ghaib diikuti solat Asar berjemaah pada pukul 4.30 petang ini di Masjid Bandar Diraja Klang, Klang.

Peserta perhimpunan itu kemudian akan berarak ke Dataran Seni Klang di hadapan bangunan pasaraya The Store yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Masjid Bandar Diraja Klang.

Pehimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS) dijangka mampu menarik penyertaan yang besar pada petang ini.

Di Dataran Seni beberapa pemimpin badan bukan kerajaan Selaangor akan berucap bagi mendesak kerajaan melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy.

Mereka juga akan menuntut Polis DiRaja Malaysia mengambil tindakan terhadap orang yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu, selepas lebih 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan teruk dibelasah oleh perusuh-perusuh di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya.

Peserta perhimpunan itu dijadualkan bersurai selepas pukul 6 petang ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di hadapan Masjid Bandar Diraja Klang  mendapati kira kira 80 anggota polis beruniform dan Unit K9 serta anggota polis cawangan khas berada di sekitar masjid itu.

Pita kuning dipasang di sepanjang Jalan Pasar, Jalan Nangka dan beberapa laluan utama di hadapan Masjid Bandar Diraja Klang dan Dataran Seni.

Keadaan trafik di Beberapa jalan yang akan ditutup secara berperingkat masih lagi terkawal. – MalaysiaGazette