Home Dunia Pemuda Islam jaga rumah penganut Kristian yang ke gereja

Pemuda Islam jaga rumah penganut Kristian yang ke gereja

gambar hiasan
Gambar hiasan

YOGYAKARTA – Pemuda-pemuda muslim meronda keliling kampung di Dusun Jetis, Desa Pagerharjo, Daerah Samigaluh sebuah daerah istimewa di Yogyakarta.

Mereka menziarahi rumah-rumah yang dihuni warga Kristian malah ada di antara mereka yang membawa alatan muzik yang diperbuat daripada buluh pada jam 5 petang sehingga 7 malam, semalam.

Jika diikutkan, itu bukanlah waktu normal untuk melakukan rondaan kerana hari belum gelap namun tujuan pemuda-pemuda tersebut adalah untuk mengawal dan memastikan rumah-rumah warga Kristian di kawasan tersebut selamat dan tidak dimasuki pencuri ketika mereka sedang beribadah di gereja sempena Krismas.

“Kami yang muslim ini mengambil inisiatif untuk meronda dan mengawasi kawasan di sini.

“Ini bagi membolehkan jiran-jiran kami yang beragama Kristian dapat beribadah dengan tenang dan khusyuk tanpa risaukan keselamatan rumah mereka,” kata Budi Narjo salah seorang pemuda Muslim yang menyertai kumpulan rondaan tersebut.

Menurut Budi, tradisi mengawasi rumah-rumah jiran ketika mereka sedang beribadah di hari perayaan sudah menjadi tradisi dalam kalangan warga Dusun.

Aktiviti itu sudah lama diamalkan berpunca daripada keluhan penduduk kampung yang sering menjadi mangsa pecah rumah apabila mereka keluar untuk beribadah ketika hari perayaan.

Penduduk kampung akhirnya bersepakat untuk bergilir-gilir menjaga kampung ketika jiran yang lain pergi ke rumah ibadat.

Ketika orang Islam keluar untuk bersembahyang raya, penganut Kristian akan mengawal rumah dan begitu pula sebaliknya.

Hasilnya, kampung berkenaan menjadi aman dan warganya dapat beribadah dengan tenang.

“Sekarang sudah tiada kes kecurian, dulu-dulu memang selalu berlaku apabila rumah ditinggal kosong,” katanya lagi.- Agensi