Friday, November 15, 2024
Home Politik Bubar UMNO yang sudah tiada masa depan

Bubar UMNO yang sudah tiada masa depan

Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengulangi pendapat peribadinya bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.

Mohd. Amar berkata, cadangan tersebut telah lama disuarakannya malah telah banyak kali diulang dalam ceramah beliau selepas pelbagai kemelut dalaman melanda parti itu.

“Saya rasa dari segi politik, masa depan UMNO sudah tiada dan sebab itu saya cadangkan ia dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu di sini, hari ini.

Mohd. Amar mengulas pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu temuramah An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dublin, Ireland baru-baru ini, yang menyifatkan UMNO sebagai bahtera yang telah bocor dan Pas tidak mungkin akan bergabung dengan parti itu.

Abdul Hadi dalam kenyataan itu juga berkata gabungan dengan parti sedemikian hanya akan menambahkan kesulitan.

Dalam pada itu Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, beliau mempunyai keyakinan yang optimis terhadap masa hadapan perjuangan Pas.

“Hari ini rakyat sudah melihat kelemahan UMNO. Rakyat juga diberi peluang menilai janji Pakatan Harapan (PH) yang belum ditunaikan selain kemelut dalaman gabungan parti dalam PH. Kita yakin dengan masa hadapan perjuangan Pas,” katanya. – BERNAMA