KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasa Meritim Malaysia (APMM) menemui dua mayat kru MV Amanda yang karam di perairan Tanjung Sepat, Kota Tinggi.
Berikutan penemuan mayat warga China dan Bangladesh pada malam tadi, seorang lagi kru warga Bangladesh kapal tersebut masih lagi hilang manakala enam yang lain ditemui selamat sebelum ini.
Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat tersebut ditemukan jam 7.45 malam semalam oleh sebuah kapal peronda maritim di lokasi berhampiran kapal yang karam itu.
“Pasukan selam juga telah diletakkan bersiapsiaga untuk melakukan selaman bagi mencari mangsa yang masih hilang di mana berkemungkinan mangsa terperangkap di dalam kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MV Amanda yang merupakan kapal yang berdaftar di Malakal Harbour, Palau sedang dalam perlayaran dari Belungkor ke Desaru membawa muatan batu ketika kejadian berlaku.
Sebuah kapal dagang TB HMS 14 yang berada di lokasi tersebut pada masa itu telah bertindak menghulurkan bantuan kepada MV Amanda dan 6 kru berjaya diselamatkan termasuk Kapten MV Amanda.
Mangsa yang selamat kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan.
Menurut Aminuddin, berdasarkan maklumat dari kapten MV Amanda, kapal itu telah mengalami kerosakan janakuasa menyebabkan kemudinya tidak berfungsi.
“Kapten kapal telah membuat full astern namun kapal tidak dapat berundur kerana ombak terlalu kuat,” katanya.
Selepas itu, katanya, ombak telah menolak kapal tersebut dan bertembung dengan kapal lain menyebabkan MV Amanda terbalik dan karam. – MalaysiaGazette