Home Nasional Kesabaran umat Islam perlu ada had – Azwanddin

Kesabaran umat Islam perlu ada had – Azwanddin

Azwanddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Kesabaran rakyat Malaysia khasnya umat Islam perlu ada had dan tidak seharusnya gentar malah digesa untuk menjadi lebih ‘kurang ajar’ apabila berdepan situasi yang menghina bangsa serta agama.

Begitu luahan Presiden Jaringan Melayu (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah  dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kata Azwanddin, dirinya juga akan terus lantang dan tegas dalam isu berkaitan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berikutan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafileds November lepas.

Dalam nada berapi-api dan provokasi, Azwanddin menulis, sudah puluhan umat Islam menahan sabar sehingga membiarkan DAP bertindak ‘keterlaluan’.

“Umat Melayu telah telah bersabar dan diam walau pun selama ini bangsa dan agama kita telah berulang kali dihina, para ulama kita dihina pemimpin melayu di fitnah dan dihina dan melakukan provokasi kepada Bangsa kita.

Kita tidak perlu takut dan gentar umat melayu islam perlu juga menjadi kurang ajar.

Andai kata ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan kelantangan dan ketegasan saya itu tidak menjadi permasalahan pada saya kerana saya yakin lebih ramai lagi umat melayu dan Islam dalam negara akan meyokong saya untuk mempertahankan umat Melayu dan Islam.

“Saya akan terus lantang dan tegas berkaitan isu adib saya juga akan terus memberikan amaran yang keras,” katanya yang turut mendapat kongsian beratus-beratus pengguna Facebook.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, perkongsian tersebut mendapat maklumblas berbeza dari pengguna dengan ada yang menyokong dan sebaliknya.

Tidak kurang juga ada yang turut melontarkan rasa kurang senang dengan provokasi dilakukan oleh Azwanddin dengan memintanya bertenang atau makan pil untuk menenangkan dirinya.

Dalam pada itu, Azwanddin turut menyatakan dirinya tidak mempunyai apa-apa agenda peribadi malah berpendapat kelantangan beliau boleh mengundang padah namun tidak akan sesekali berganjak.

Saya lakukan bukan atas kepentingan peribadi apa yang saya lakukan walaupun melibatkan risiko yang tinggi pada saya dan keluarga saya namun itu adalah perjuangan pada agama dan bangsa, dituntut oleh anak anak dan juga generasi kita akan datang.

“Saya sentiasa dipesan kedua ibu bapa Saya kita tidak perlu takut jika kita jujur memperjuangkan kepada umat islam dan bangsa melayu yang hari ini sudah menjadi seperti bangsa yang menumpang di tanah melayu sendiri

“Kepada Bangsa Ku kita hanya perlu takut pada Allah dan kedua ibu bapa kita selain dari itu kita perlu bangkit tegak kan keadilan,” katanya.

Semalam ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang yang hadir pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni Klang, Azwanddin membuat ugutan akan menyerang balai polis seandainya dalang rusuhan itu tidak ditangkap.

Azwanddin juga menggelar Menteri Perpaduan di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy sebagai ‘paria’ selain mengaitkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok dengan kontroversi tersebut.

Teresa kemudian mengeluarkan kenyataan Azwanddin bakal berdepan dengan saman undang-undang kerana mengeluarkan dakwaan berunsur fitnah terhadapnya dalam masa terdekat.

Malah, Timbalan Menteri Undang-Undang, Hanipa Maidin menuduh Azwanddin tidak ‘siuman’ dan perlu segera diperiksa berikutan kenyataan-kenyataan luar jangkaan itu.

Jujurnya, saya tak pasti tahap kesiuman beliau.Cuma saya rasa elok juga jika beliau diperiksa oleh para tabib atau pakar psikologi,” ujarnya. – MalaysiaGazette