Home Nasional Polis siasat ucapan provokasi Azwanddin

Polis siasat ucapan provokasi Azwanddin

Azwanddin Hamzah
Azwanddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat kenyataan berunsur provokasi Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah ketika berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy, di Klang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, Azwanddin akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Ya (polis akan siasat). Presiden JMM akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas kepada NSTP hari ini.

Semalam, Azwanddin, ketika berucap, mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

“Saya hendak ditahan, waran tangkap dikeluarkan untuk saya kerana saya berhimpun di Putrajaya. Saya tidak bunuh orang. Saya tak culik orang pun. Yang saya buat, yang saya bangkit kerana Melayu dan Islam. Apa itu sebab saya ditahan, ditangkap?

“Saya memberi amaran kepada mereka, tangkap pemaju, tangkap peguam. Jika tidak kita akan serang Balai Polis Klang tuan-tuan, puan-puan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) Abu Bakar Mohamed turut mengecam Azwanddin atas ucapan provokasi itu.

Azwanddin yang dijemput berucap di pentas menggunakan istilah “pariah” merujuk kepada menteri perpaduan P Waythamoorthy dan istilah berkenaan dianggap menghina kaum India.

Selain itu, Azwanddin juga mengugut menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak berkuasa tidak menangkap pihak yang menjadi “penyebab” kepada rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya 25 dan 26 November lalu.

Diminta mengulas perkara itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak bersetuju dengan ucapan Azwanddin. – MalaysiaGazette