Home Nasional SPJM: Hanya RM11k lagi untuk membeli ‘kenderaan terakhir’….

SPJM: Hanya RM11k lagi untuk membeli ‘kenderaan terakhir’….

Muhammad Rafieudin Zainal Rashid. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Impian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) untuk memiliki sebuah van jenazah baru kini hampir menjadi kenyataan apabila mereka hanya memerlukan kira-kira RM11,000 lagi untuk berbuat demikian.

SPJM yang aktif dalam kerja-kerja menguruskan jenazah orang Islam di Lembah Kelang sebelum ini telah menjalankan kempen khas untuk mengutip dana bagi tujuan berkenaan.

Mereka sebelum ini telah memiliki empat buah kenderaan bagi tujuan tersebut namun disebabkan permintaan yang tinggi daripada masyarakat, ia tidak mampu lagi menampung kekerapan pengunaannya.

Menurut Pengerusi SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, oleh kerana selalu digunakan terutama ketika menghantar jenazah-jenazah di luar Lembah Kelang, kesemua van jenazah itu sering mengalami kerosakan malah ada yang masih di dalam bengkel kerana kemalangan.

48371649_10156866049433050_4199342499149381632_n (1)

” Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak termasuk portal Malaysia Gazette sendiri yang tidak jemu-jemu memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan untuk kami memiliki van jenazah yang baru ini, SPJM telah berjaya mengutip kira-kira RM69,000 daripada orang ramai.

” InsyaAllah, kami hanya memerlukan RM11,000 lagi untuk mencapai sasaran RM80,000 bagi pembelian sebuah van jenazah yang baharu.

” Walaupun pelbagai ujian dan rintangan yang dilalui, ia tetap tidak mematahkan semangat juang kami demi membantu ummah yang sangat memerlukannya sebagai kenderaan terakhir di muka bumi ini,” kata Muhammad Rafieudin pada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Menurut beliau, kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang waqaf/infaq untuk pembelian van jenazah ini boleh terus berbuat demikian melalui akaun rasmi
PERTUBUHAN SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (CIMB: 8603-48-9285)atau (BSN: 1410-0410-0030-6186)

Jelasnya, beliau juga boleh dihubungi melalui talian 013-322 7937.- Malaysia Gazette.