LONDON – Harga minyak jatuh lebih daripada satu peratus pada hari Khamis selepas melantun lapan peratus pada sesi sebelumnya.
Kejatuhan itu berikutan kebimbangan terhadap bekalan minyak mentah dan situasi ekonomi global yang goyah.
Minyak mentah Brent turun AS$0.70 atau 1.3 peratus kepada AS$53.77 setong pada 0845 GMT manakala minyak Amerika Syarikat susut sebanyak AS$0.50 kepada AS$45.72.
Harga minyak telah mencapai paras tinggi pada awal Oktober tetapi menjunam hampir 40 peratus sejak itu dan kini mencecah kedudukan terendah dalam tempoh 18 bulan.
Brent terus merekodkan kerugian hampir 30 peratus pada tahun ini dan kontrak hadapan Amerika Syarikat jatuh hampir 25 peratus.
Tiga bulan lalu situasi seolah-olah pasaran minyak dunia akan mengalami kekurangan bekalan ekoran musim sejuk di hemisfera utara ketika Washington mengenakan sekatan ke atas minyak mentah Iran.
Tetapi pengeksport minyak lain lebih banyak mengimbangi kekurangan, meningkatkan inventori global dan memberi tekanan kepada harga.
Kemelut minyak, digabungkan dengan sentimen pelabur yang goyah dalam kelas aset lain menyebabkan harga minyak susut.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada awal bulan ini telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong sehari pada bulan depan – lebih daripada 1 peratus daripada penggunaan global.
Tetapi, pada masa sama pengeluaran minyak di Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Arab Saudi masih lagi tinggi.
AS menghasilkan 11.6 juta tong minyak mentah sehari lebih tinggi berbanding gabungan pengeluaran Arab Saudi dan Rusia.
Manakala Tehran pula walaupun mengalami sekatan AS masih tidak menghadapi masalah untuk menjual minyaknya. – MalaysiaGazette