KUALA LUMPUR – Pas bersedia untuk bekerjasama dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang memberitahu, kerjasama dengan Perdana Menteri itu termasuk di dalam setiap langkah bagi memastikan wujud semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini.
“Terutama melalui nasihat dan menawarkan opsyen-opsyen terbaik agar kerajaan dapat berperanan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Takiyuddin lagi, parti teras dalam politik Malaysia juga perlu diteruskan strukturnya demi membolehkan UMNO berperanan menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.
“Pas merasakan kepimpinan baru UMNO diterajui timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan perlu diberikan peluang untuk merangka strategi bagi memimpin jutaan ahli UMNO yang memerlukan hala tuju dan menjalani cara berpolitik baru.
“Ia terutama selepas UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14,” ujarnya. – MalaysiaGazette