Home Ekonomi PIDM pelindung sistem kewangan

PIDM pelindung sistem kewangan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) merupakan badan berkanun yang melindungi simpanan di bank serta manfaat takaful dan insurans konsumer kewangan sekiranya institusi ahli PIDM jatuh bankrap.

Malah, tanpa sebarang permohonan, PIDM secara automatik akan melindungi pendeposit dan pemegang sijil takaful atau pemegang polisi insurans terbabit.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan nasional, antara tanggungjawab PIDM adalah untuk memantapkan perlindungan konsumer kewangan.

“Konsumer kewangan tidak perlu bimbang atau panik dengan adanya sistem perlindungan yang disediakan kerana PIDM akan membayar balik wang mereka dalam bank dan memenuhi tuntutan manfaat takaful dan insurans yang layak sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan,” katanya.

Bagi pendeposit pula, PIDM akan melindungi simpanan pengguna sehingga RM250,000 terhadap sebarang kehilangan deposit diinsuranskan yang disimpan di bank-bank ahli badan itu sekiranya ada bank itu mengalami kegagalan.

Pemilik sijil takaful dan polisi insurans juga tidak terkecuali apabila PIDM memberi perlindungan sehingga RM500,000 terhadap kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak, sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap peranan dan sistem perlindungan yang ditadbir, PIDM turut mendekati pelbagai kumpulan pemegang kepentingan menerusi kaedah seperti iklan, brosur dan bahan maklumat selain taklimat dan latihan.

Kesedaran dan pemahaman yang lebih baik mengenai fungsi PIDM ini juga dapat membantu pengguna kewangan membuat keputusan lebih baik serta melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

Sejajar usaha penambahbaikan kualiti perkhidmatan, PIDM juga sering menjalankan simulasi kegagalan institusi ahlinya secara berkala bagi menguji keupayaan kakitangan, infrastruktur dan sistemnya.

Maklumat lanjut mengenai PIDM serta cara sistem perlindungannya berfungsi atau mengetahui langkah memaksimumkan perlindungan yang disediakan boleh diperolehi menerusi talian bebas tol di 1-800-88-1266 atau layari www.pidm.gov.my. – MalaysiaGazette