BANGI – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata ada perkara yang lebih penting harus dilihat Kementerian Pendidikan dalam memastikan dasar pendidikan negara terus berkesan.
Ujarnya, langkah kerajaan dalam meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada 10 Disember lalu tidak menjamin apa-apa memastikan sesebuah universiti itu menjadi hebat.
“Tahniah sebab dapat pinda AUKU tetapi itu tidak ada jaminan bagi memastikan universiti jadi tempat yang hebat. Tapi saya tidak faham dari segi konteks keseluruhan bagaimana ini boleh memaparkan situasi keseluruhannya,” katanya dalam sidang media terakhir beliau dalam memegang jawatan itu hari ini
AUKU berjaya dipinda pada 10 Disember lalu dengan membolehkan mahasiswa terlibat aktiviti parti politik di dalam kampus.
Keputusan itu dicapai selepas ahli-ahli Dewan Rakyat bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 berhubung larangan ke atas pelajar universiti terlibat dalam parti politik di kampus.
Tambah Noor Azlan, kajian terhadap ‘tumbesaran’ pelajar merupakan satu aspek penting dalam memastikan masalah utama berkaitan pendidikan dapat diatasi segera.
“Ada menteri sebut tentang kasut dan sebagainya, bagi saya itu adalah perkara yang terpencil. Tukar kasut hitam ini nak ajar apa sebenarnya?
“Kalau misi tidak payah basuh kasut, jadinya perkara lain pun tidak perlu dibuat. Saya tidak faham, kena lebih fokus dan jelas.
“Kita kena buat diagnostik dan saya pernah kongsi kaedah yang mana saya ada kepakaran dan belajar dengan sarjana antarabangsa tentang perkembangan ‘tumbesaran’ (pelajar).
“Sistem pendidikan kena buat diagnostik dan melihat di mana masalah utama sistem pendidikan. Jangan buat satu dasar dan laksanakan, itu tidak boleh,” katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata, sistem pendidikan di negara ini perlu diubah dan lebih dinamik agar tidak terus terperangkap dengan orientasi peperiksaan.
Malah, sistem yang sama menyebabkan pusat-pusat tuisyen berkembang seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ membuktikan masyarakat tidak meyakini keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.
“Ini yang dikatakan by passing concept. Ia sama seperti persatuan penduduk yang membuat sistem kawalan keselamatan di kawasan kediaman tersendiri dengan mengupah pengawal warga asing kerana masih tidak meyakini dengan kawalan keselamatan sedia ada. Ini amat merunsingkan.
“Apa yang terbaik pada 1970-an tidak semestinya baik pada hari ini. Di samping yang dapat banyak A dalam peperiksaan, ramai yang dapat keputusan tidak baik. Ada yang sanggup bunuh diri kerana tidak mencapai keputusan peperiksaan yang disasarkan,” katanya lagi.
Perkara itu, katanya berlaku disebabkan ibu bapa terlalu taksub dengan peperiksaan dan mengejar bilangan gred A membuat wujudnya tekankan kepada pelajar. -MalaysiaGazette