LONDON – Paul Pogba kini kembali gembira selepas menemui semula sentuhan gol, kata pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
“Saya tahu dia amat mencintai sukan bola sepak dan kini dia sudah mampu tersenyum lebar. Dia menyukai bola sepak dan memiliki senyuman yang lebar.
“Itu Paul yang saya kenal sejak dia di dalam pasukan simpanan dan skuad belia,” kata Solskjaer memetik laporan BBC Sports.
Solskjaer pernah bekerjasama dengan Pogba semasa pemain kebangsaan Perancis itu bersama pasukan simpanan United.
Pemain tengah itu yang tidak sebulu dengan bekas jurulatihnya, Jose Mourinho menjaringkan dua gol ketika United menang 3-1 ke atas Huddersfield, awal pagi tadi.
Ia disusuli dua hantaran yang dilakukan ketika United menang 5-1 ke atas Cardiff pada aksi pertama Solskjaer. – MalaysiaGazette