KUALA LUMPUR – Pelakon jelita, Raja Ilya akhirnya mendedahkan wajah suami yang dikenali sebagai TWG atau Trent selepas selamat bernikah pada 23 Disember lalu.
Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 33, berharap peminat akan mendoakan jodohnya dengan lelaki berusia 37 tahun itu kekal selama-lamanya.
“Syukur alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Majlis ini dilakukan secara tertutup dan dihadiri keluarga serta kenalan terapat sahaja.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya berharap kenalan dan peminat doakan jodoh kami kekal selamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi laman Instagram miliknya pada khamis, Raja Ilya turut berkongsi beberapa foto perkahwinannya.
Raja Ilya berkata, majlis pernikahan itu telah diadakan di kediaman saudara suaminya di Perth, Australia dan dihadiri keluarga dan kenalan rapat sahaja.
Dalam pada itu, Raja Ilya memberitahu dia masih sibuk dengan jadual penggambaran drama Syurgaku Tak Sempurna 2 yang akan disambung di Perth bulan hadapan.
“Jika ada rezeki dia tidak menolak untuk mengatur sebuah majlis resepsi di Malaysia bergantung kepada kelapangan suaminya yang merupakan ahli perniagaan,” katanya.
Raja Ilya dan Trent telah berkenalan sejak tahun 2012 dan mengesahkan sudah bertunang pada awal November lalu.
Pasangan itu dikatakab sedang berbulan madu di Rottnest Island, Australia. – MalaysiaGazette