KUALA LUMPUR – Pulau Tioman bakal menerima 15 peratus daripada bekalan elektrik daripada sumber tenaga yang diperbaharui (RE) tahun depan.
Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES) meningkatkan bekalan elektrik ke pulau yang terletak di Pahang itu dengan dua projek RE dan bakal memiliki kombinasi kapasiti sebanyak 755kW.
Katanya, TNB sedang memulihara semula stesen mini hidro di Sungai Mentawak dan memasang panel solar di atas bumbung jeti dan pejabat TNB di pulau berkenaan.
Setakat November lalu, 87 peratus kerja-kerja pemuliharaan stesen mini hidro telah siap manakala 92 peratus panel solar telah siap dipasang.
“Apabila projek berkenaan siap tahun depan, Pulau Tioman yang popular dengan lokasi selam skuba dan snorkeling akan menjadi pulau pertama di semenanjung yang dikuasakan oleh tenaga solar dan mini hidro,” kata TNB dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tenaga elektrik yang dibekalkan oleh TNB ke pulau berkenaan adalah melalui stesen-stesen kuasa yang dijana oleh diesel di Kampung Tekek dan Kampung Genting dengan kapasiti penuh sembilan megawat.- MalaysiaGazette