KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia pulih daripada kerugian awal apabila ditutup tinggi hari ini yang juga minggu dagangan terakhir 2018, dipacu oleh aktiviti memperelok akaun di saat-saat akhir dalam dagangan kecil berikutan musim cuti ketika ini.
Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.35 mata atau 0.08 peratus kepada 1,692.07 daripada 1,690.72 sewaktu ditutup pada Khamis.
Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata seiring senario di pasaran saham global, dagangan Bursa Malaysia juga lebih suram hari ini berikutan ramai pelabur yang sedang bercuti.
“Saya menjangkakan pelabur institusi tidak banyak melakukan aktiviti memperelok akaun itu apabila tidak membeli saham bermodal besar sepertimana dilakukan pada minggu sebelumnya,” katanya.
Jumlah dagangan juga susut sedikit hari ini dengan 1.41 bilion saham bernilai RM1.10 bilion berbanding 1.60 bilion saham bernilai RM1.21 bilion, semalam.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 385 berbanding 343 manakala 395 lain tidak berubah, 764 tidak didagangkan dan 54 lain digantung.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM9.43, Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM24.88 dan RM5.78 manakala Tenaga rugi dua sen kepada RM13.56.
Bagi saham aktif, Hubline dan Velesto masing-masing menokok setengah sen kepada 4.5 sen dan 18 sen, VS Industry naik 1.5 sen kepada 72 sen, Bumi Armada menambah satu sen kepada 16 sen manakala Sapura Energy berkurangan satu sen kepada 28.5 sen dan Yong Tai turun dua sen kepada 36 sen.
F&N muncul kaunter paling untung apabila meningkat RM1.04 kepada RM33.36 diikuti United Plantations yang menambah 54 sen kepada RM25.64, PPB dan KLK pula masing-masing naik 50 sen kepada RM17.70 dan RM24.64 manakala Batu Kawan meraih 28 sen kepada RM16.68. – MalaysiaGazette