KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan Penilaian Awal Petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bagi Malaysia 2018,’ penerbitan pertama yang memaparkan hasil penilaian ketersediaan petunjuk SDG di peringkat negara ini.
Penerbitan itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia beserta 193 negara-negara lain yang menyuarakan sokongan serta merealisasikan pelaksanaan agenda mampan 2030 di Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015, kata kenyataan jabatan itu hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata petunjuk SDG berkenaan merangkumi 17 matlamat, 169 sasaran dan 244 petunjuk atau indikator yang mengukur pencapaian pembangunan sejagat meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Menurutnya, terdapat 118 petunjuk (48 peratus) berstatus sedia ada manakala 55 petunjuk (23 peratus) separa tersedia dan 36 petunjuk (15 peratus) yang ada namun perlu dibangunkan lebih lanjut, 23 petunjuk (9 peratus) tidak wujud dan 12 petunjuk (lima peratus) pula tidak relevan.
“SDG yang bertemakan ‘Tiada Siapa Akan Ketinggalan’ merupakan agenda pembangunan yang berpaksikan pembangunan manusia, planet, kemakmuran, keamanan dan perkongsian.
“Sehubungan itu, ketersediaan petunjuk SDG ini adalah asas penting bagi mengukur dan memantau kedudukan negara agar sentiasa berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat pembangunan mampan 2030 itu.
“Terbitan pertama ini akan menjadi panduan kepada semua pihak bagi mengenal pasti jurang ketersediaan petunjuk SDG dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya untuk membangunkan petunjuk yang menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara ini,” katanya.
Menurut DOSM, komitmen kerajaan terhadap agenda pembangunan lestari itu turut dipaparkan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan baru-baru ini.
Berikutan itu, komiutmen terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 telah dijajarkan dengan strategi dan inisiatif RMK11, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette