KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang ditempelak kerana selalu menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk ‘melarikan diri’ setiap kali Pakatan Harapan dilanda kontroversi.
Malah, DAP juga didakwa menggunakan isu sama jika terpaksa berdepan perkara-perkara yang telah mengkhianati prinsip parti tersebut.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, 1MDB digunakan sepenuhnya oleh DAP untuk mengalihkan perhatian rakyat akibat kegagalan mereka dalam memenuhi janji-janji yang pernah dibuat kepada para penyokong parti tersebut.
Ka Siong membuat komen itu di Facebook selepas Kit Siang membuat kenyataan panjang lebar melalui blognya mengenai kepincangan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk isu 1MDB dan rasuah.
Bagaimanapun, kenyataan yang dibuat itu, kata Ka Siong tidak menjawab soalannya mengapa Kit Siang secara tiba-tiba membuat kenyataan yang dilihat sebagai ugutan untuk keluar daripada Pakatan Harapan, baru-baru ini.
Lebih menghairankan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak tahu mengapa Penasihat DAP itu membuat kenyataan sedemikian.
Secara sinis, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bertanya kepada Kit Siang, bilakah Pakatan Harapan akan mengiktiraf UEC seperti yang dijanjikan DAP kepada para penyokongnya.
“Jangan beritahu saya UEC tidak boleh diiktiraf kerana 1MDB.
“Adakah 1MDB juga menjadi dalang yang menyebabkan kejatuhan harga komoditi?
“Di mana anda berada ketika kerajaan Pakatan Harapan membuat pusingan U berhubung keputusan untuk meratifikasi ICERD? Adalah 1MDB yang menyebabkan anda berhenti daripada menentang pusingan U yang dibuat?
“Dan apa yang anda katakan apabila PM mengisytiharkan objektif dana berdaulat Khazanah adalah untuk meningkatkan Bumiputera sahaja, sedangkan sebelum ini semuanya untuk rakyat Malaysia? Adakah perubahan dalam fokus ini disebabkan oleh 1MDB juga?
“Dan adakah 1MDB yang membuat anda tenang apabila kerajaan bersetuju dengan projek jambatan bengkok yang telah anda tentang dahulu?,” soal Ka Siong sambil memberitahu beliau boleh menyenaraikan lebih banyak contoh yang menunjukkan DAP telah mengkhianat prinsip parti itu.
Presiden MCA itu menegaskan pendiriannya jelas berhubung skandal 1MDB iaitu memberi keutamaan mendapatkan kembali wang yang didakwa hilang, membangunkan aset-aset 1MDB yang masih ada dan pihak terlibat dalam skandal 1MDB perlu dibicarakan di mahkamah.
Jelasnya, biarkan sistem kehakiman yang menentukannya selaras dengan prinsip menghormati kedaulatan undang-undang.
Kata Ka Siong, sebenarnya kedaulatan undang-undang juga harus diguna pakai dalam kes pembelian banglo kontroversi milik Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa bulan Pakatan Harapan memerintah, pihak pendakwaan telah menarik balik tuduhan rasuah terhadap Guan Eng.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah didakwa membeli sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
Bagaimanapun, pihak pendakwa telah menarik semula kes, yang mana keputusan itu “mengejutkan” orang ramai termasuk Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Begitu juga dengan skandal terowong Pulau Pinang, juga disahkan oleh syarikat konsesi dan kerajaan Pulau Pinang beberapa kali bahawa RM22 juta telah dibayar kepada pihak tertentu dalam usaha untuk menghentikan siasatan rasuah.
“Apa jadi dengan kes ini? Adakah membayar puluhan juta dalam rasuah bukan perkara yang serius atau perkara jenayah? Adakah Lim Kit Siang meluluskan amalan sedemikian dalam membayar puluhan juta dalam rasuah?,” soal Ka Siong. – MalaysiaGazette