Home Nasional Koperasi berdaftar tidak guna agen – SKM

Koperasi berdaftar tidak guna agen – SKM

KUALA LUMPUR – Semua koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak menggunakan
perkhidmatan agen untuk menawarkan perkhidmatan pinjaman peribadi kepada orang awam.

Perkhidmatan pinjaman oleh koperasi hanya disediakan untuk anggota koperasi sahaja.

Sehubungan itu, sekiranya anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai agen sesebuah koperasi dan
menawarkan pinjaman peribadi, sila hubungi pihak koperasi tersebut untuk mendapatkan pengesahan berhubung tawaran berkenaan.

SKM membuat kenyataan itu selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang terpedaya dengan tawaran pinjaman peribadi ditawarkan oleh individu yang mendakwa mereka adalah agen koperasi.

Setelah urusan pinjaman dilakukan barulah mereka menyedari telah diperdaya oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab.

“Berdasarkan semakan SKM, agen ini akan menawarkan skim pinjaman peribadi yang menarik kepada orang awam. Para peminjam akan diperdaya dengan pelbagai janji dan kemudahan yang sebenarnya tidak wujud.

“Para peminjam diberitahu mereka tidak perlu mengisi jumlah pinjaman yang dipohon dalam borang permohonan pinjaman kerana agen mengatakan bahawa jumlah tersebut akan diisi oleh pihak koperasi berdasarkan pengiraan jumlah layak dipohon oleh seseorang peminjam,” katanya dalam kenyataan di sini.

SKM berkata, terdapat juga agen yang menawarkan pinjaman peribadi daripada bank-bank tempatan kepada
orang awam, yang mana para peminjam dikehendaki menandatangani borang keanggotaan koperasi.

Selain daripada bayaran ansuran pinjaman secara bulanan, yuran bulanan keanggotaan koperasi juga perlu dibayar oleh peminjam.

Orang awam diingatkan supaya menyemak semua dokumen berkaitan perjanjian pinjaman yang ditawarkan oleh agen sebelum menurunkan tandatangan terutamanya menyemak terlebih dahulu maklumat jumlah pinjaman yang diluluskan, jumlah sebenar yang akan diterima dan bayaran-bayaran yang perlu dibuat sebagai peminjam.

Jika terdapat kemusykilan bolehlah menghubungi SKM serta berhubung dengan pegawai kami – Dr. Juliawati binti Janius (Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan) / Puan Zainab binti A Raman / Puan Noor Azizah binti Ahmad di talian 03-20834055/4034/4224. – MalaysiaGazette