Home Seni Hidup Nota syahdu seorang ibu buat anaknya

Nota syahdu seorang ibu buat anaknya

Foto Instagram Noraniza Idris.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Noraniza Idris meninggalkan nota buat anak sulungnya, Mohd Aliff Haiqal Mohd Fauzi, 26, yang selamat bergelar suami baru-baru ini.

Nota luahan hati Noraniza, 50, telah menyentuh perasaan pengikutnya di laman sosial.

Menerusi nota tersebut, penjuang lagu irama Malaysia itu memohon maaf kepada anaknya kerana tidak dapat menjadi seorang ibu yang sempurna namun akan sentiasa mendoakan kebahagian Aliff.

“Jika duka yang kau jumpa, kembalilah kepada Allah. Jika suka yang kau jumpa, bersyukurlah. Doa sentiasa mengiringimu Aliff.

“Maafkan kerana mama bukanlah mama yang sempurna untukmu.

“Sesungguhnya, sedari awal telah mama halalkan segala urusanmu… Teruskanlah perjalananmu dengan tenang dan penuh kasih sayang,” tulisnya pada kapsyen gambar memperlihatkan Noraniza menitiskan air mata sambil memeluk anaknya.

noraniza_idris_47586147_369164607152510_3884242227136200034_n
Foto Instagram Noraniza Idris.

Aliff bernikah dengan Ezza Nafiesha Zakaria pada majlis pernikahan yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu.

Noraniza dalam nota sama turut berpesan agar anaknya itu menjadi seorang ketua keluarga yang dapat membimbing isteri selain menghormati keluarga.

Katanya lagi, sebagai seorang ibu dia merasakan masa berjalan terlalu pantas dan berharap anak kesayangannya itu dapat melalui alam rumah tangga dengan baik.

“Pertama kali mendengar tangismu, hilang segala kesakitan melahirkanmu maka bermulalah tawa tangis mama penuh rasa keibuan.

“Masa berlalu pantas dan kini mama menyaksikan Aliff berdiri depan pintu gerbang kehidupan baru. Bagai bicara Luqman Al Hakim dalam surah Luqman dalam al Quran, hidup umpama laut. Dalamnya tak terduga, isinya penuh pancaroba.

“Aliff anakku, kau adalah ketua keluarga maka bimbinglah isterimu, bakal ibu kepada anak-anakmu. Hormati mertuamu, ipar dan saudara semendamu dan keluargamu sendiri,” katanya.

Aliff merupakan anak Noraniza bersama bekas suami, Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 25. – MalaysiaGazette