PUTRAJAYA – Pemuda Bersatu perlu membina rangkaian antarabangsa terutamanya melibatkan pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Ketua Pemuda Bersatu Lumut, Akmal Maradzi berkata, ini penting kerana ia akan membina rangkaian lebih luas dalam mempercambahkan keahlian dan sokongan.
“Walaupun baru dua tahun Bersatu ditubuhkan, namun ia bukan alasan untuk tidak bergerak pantas.
“Mereka ini adalah mata dan telinga untuk menyampaikan makluman kepada rakyat kita yang berada dial sana. Kumpulan ini juga yang akan membantu kita ketika pilihanraya,” katanya selepas program Moh Ke Sekolah.
Dalam program itu, beliau menyampaikan sebanyak 330 sumbangan persekolahan kepada pelajar di Marina Island Resort and Hotel.
Tambah Akmal, Perhimpunan Agung Bersatu ini adalah tempat terbaik untuk mengusulkan perkara ini.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Seramai 1,600 perwakilan seluruh negara akan menghadiri perhimpunan ini.
“Kesempatan ini yang perlu digunakan untuk menyuarakan hal ini dan sewajarnya mendapat pertimbangan kepimpinan.
“Kumpulan muda di luar negara sering diabaikan, jadi kita perlu ada rangkaian dengan mereka agar berada dalam lingkungan parti,” katanya. – MalaysiaGazette