PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) terharu diberi pengiktirafan sebagai tonggak utama kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pengiktirafan yang diberikan oleh Presiden Bersatu sebagai pencapaian terbaik sejak dua tahun penubuhannya.
“Saya amat terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Armada yang jelas menunjukkan bahawa ruang dan peluang sentiasa terbuka kepada kepimpinan Armada.
“Armada amat unik bukan sahaja kerana anak muda diberi peluang untuk memainkan peranan yang sangat besar dalam Bersatu,” katanya selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.
Antaranya, Ahli Parlimen Muar itu berkata, Armada merupakan satu-satunya sayap yang diberikan peluang untuk menjadi perwakilan rasmi dalam Majlis Presiden.
“Ini menunjukkan Armada sentiasa menjadi barisan utama dalam menggerakkan citar asa parti PH,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung Tahunan kedua Bersatu berlangsung pada hari ini sehingga Ahad.
Malam esok bakal berlangsung acara perasmian PAT parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu.
Dr Mahathir dijadual menyampaikan ucapan dasar di Dewan Plenary PICC dengan kehadiran kira-kira 1,550 perwakilan daripada 135 bahagian Bersatu di seluruh negara.
Selain itu para perwakilan juga akan berbahas.
Kemuncak PAT itu menyaksikan pemimpin parti termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin menyampaikan ucapan penangguhan masing-masing. – MalaysiaGazette