Home Nasional Penunggang motosikal lawan arus maut selepas bertembung kereta

Penunggang motosikal lawan arus maut selepas bertembung kereta

JOHOR BAHRU – Akibat menunggang motosikal secara melawan arus, seorang lelaki maut apabila kenderaannya itu bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di susur Taman Nusa Idaman, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), di Iskandar Puteri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu menyebabkan mangsa, G. Siritar, 35, yang bekerja sebagai kelindan lori di Singapura, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal (Siritar) yang melawan arus menuruni susur dari arah Taman Nusa Idaman menghala ke Linkedua lalu bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Dzulkhairi berkata, kejadian turut menyebabkan pemandu kereta berumur 26 tahun itu cedera pada bahagian muka dan kepala yang kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk rawatan.

Katanya, Siritar berasal dari Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, dan mayatnya pula dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

Menurutnya, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca baik dan tiada sebarang kekeliruan tanda jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama