Home Sukan Perlis ikat bekas penyerang kebangsaan Thailand

Perlis ikat bekas penyerang kebangsaan Thailand

Kirati Keawsombat (depan) beraksi dengan kelab Nakhon Ratchasima dalam Loga Thailand musim ini.

KUALA LUMPUR – Selepas menandatangani kontrak dengan bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali, Perlis terus bernafsu membeli pemain pabila mengumumkan bekas penyerang skuad kebangsaan Thailand iaitu Kirati Keawsombat akan menyarung jersi pasukan itu musim depan.

Berita itu disahkan oleh Facebook rasmi Perlis Northern Lions yang memaklumkan pemain yang berusia 31 tahun itu akan membuat penampilan sulung pada aksi persahabatan pra musim menentang Pulau Pinang di Stadium Tuanku Syed Putra malam ini.

Kirati merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Thailand ketika saingan Piala Suzuki AFF pada tahun 2010, 2012 dan juga 2014.

Namun dia banyak memanaskan bangku simpanan kerana Thailand ketika itu banyak bergantung kepada dua penyerang berbisa iaitu Teerasil Dangda dan Adisak Kaisorn.

Selain mewakili skuad kebangsaan, dia juga mempunyai pengalaman beraksi dengan kelab Buriram United selama tiga tahun dan pernah membantu pasukan itu menjuarai Liga Thailand, Piala FA dan Piala Liga Thai pada tahun 2011.

Musim ini dia beraksi dengan Nakhon Ratchasima dan merupakan rakan sepasukan kepada penyerang skuad Harimau Malaya, Shahrel Fikri yang dipinjamkan daripada PKNP FC.

Dia hanya merekodkan satu jaringan dalam 19 penampilan.

Kirati berperanan sebagai ‘targetman’ kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan kemampuan menjaringkan gol melalui tandukan.

Sementara itu, Perlis pada musim depan bakal berwajah baharu kerana turut dibarisi seorang lagi bekas penyerang skuad kebangsaan iaitu Khyril Muhymeen dan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi.

Malah Perlis turut menandatangani bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan iaitu Azmi Muslim dan Amirizwan Taj Tajuddin serta anak jati Perlis sendiri Azmizi Azmi yang beraksi dengan PKNS FC musim lalu. – MalaysiaGazette

+ posts