PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum lagi meluluskan mana-mana permohonan daripada pemimpin UMNO termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin berkata, mereka yang melompat ke parti itu perlu melalui proses saringan terlebih dahulu sebelum diterima menjadi ahli dalam Bersatu.
“Belum ada lagi. Mereka kena lalui proses saringan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terlibat rasuah, polis jika terlibat dengan jenayah dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM di sini hari ini.
Menurutnya, mereka yang telah menjalani proses-proses tersebut akan diletakkan dalam satu keadaan ‘cooling period (tempoh bertenang) sebelum mendapat arahan selanjutnya.
Tambah beliau, tidak mudah untuk Bersatu menerima bekas ahli UMNO kerana ia melibatkan kepentingan semua pihak dalam parti.
Sementara itu Muhyiddin berkata, perhimpunan yang diadakan selama tiga hari itu akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hala tuju parti pada masa hadapan.
Katanya, ia menjurus kepada kelangsungan parti dan cara bagaimana untuk mendepani negara yang semakin mencabar.
Katanya, perhimpunan tersebut turut akan dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta pemimpin-pemimpin dalam gabungan Pakatan Harapan.
Katanya, seramai 300 wakil media dari pelbagai agensi berkampung bagi mengikkuti perhimpunan berkenaan. – MalaysiaGazette