PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dikerahkan untuk mengawal perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada anggota pasukan keselamatan berkenaan ditugaskan sepanjang perhimpunan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Katanya, perhimpunan berkenaan merupakan sebuah mesyuarat mengenai parti politik dan pemimpin Bersatu tidak akan menyalahgunakan kuasa untuk mengerahkan pihak berkuasa berkaitan hal-hal parti.
“Saya di sini bukan sebagai Menteri Dalam Negeri. Tiada polis di sini.
“Ini adalah mesyuarat politik. Kami tidak meminta polis berada di sini kerana di sini ada pihak keselamatan dalaman sendiri.
“Kami akan memastikan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan mesyuarat berjalan lancar. Kami juga berharap agar tidak ada cubaan oleh pihak-pihak tertentu seperti mematikan penghawa dingin atau sebagainya.
“Saya harap ini tidak akan berlaku. Tetapi jika polis berasa mereka mahu datang menyaksikan perhimpunan ini, mereka sangat dialu-alukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette