Home Nasional Rakyat marah kerajaan baharu dan pembangkang yang lemah

Rakyat marah kerajaan baharu dan pembangkang yang lemah

Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dasar-dasar kerajaan baharu, kenaikan harga barang dan parti pembangkang yang gagal melakukan semak dan imbang antara isu yang menjadi kemarahan rakyat selepas tujuh bulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung.

Pengerusi Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanah Rakyat Malaysia (SEDAR Malaysia), Nazrin Norani berkata, rata-rata rakyat mahukan drama politik yang tidak pernah selesai daripada sebelum PRU14 sehinggalah ke hari ini dihentikan dan semua wakil rakyat yang telah dipilih melalui pilihanraya berkenaan memberi fokus untuk membangunkan negara dan membantu semua rakyat.

Jelasnya, SEDAR Malaysia mendapat maklum balas sedemikian ketika mengedarkan petisyen untuk mengutip tandatangan bagi menggesa penggubalan undang-undang anti lompat parti dan peruntukan kewangan setara wakil rakyat.

“Kami melancarkan petisyen secara bersemuka dan juga di atas talian sejak 22 Disember lalu.

“Ketika mengedarkan petisyen di sekitar Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, kami dapat mengumpulkan hampir 2,000 tandatangan dan berpeluang untuk mengadakan temubual bersama mereka.

“Boleh dikatakan 95 peratus daripada rakyat Malaysia yang telah menurunkan tandatangan ke atas petisyen berkenaan mengatakan mereka marah bukan sahaja kepada kerajaan di atas dasar-dasar yang telah diumumkan dan kegagalan menangani harga barang malah mereka juga marah kepada pembangkang yang terlalu lemah dan gagal melakukan semak dan imbang.

“Pihak pembangkang yang ada pada hari ini terlalu lambat untuk bersuara memperjuangkan isu-isu rakyat malah sibuk untuk lompat parti bagi menyertai parti pemerintah,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Disebabkan itu, SEDAR Malaysia melancarkan petisyen yang mensasarkan 200,000 tandatangan secara atas talian dan 10,000 tandatangan secara bersemuka sebelum diserahkan kepada ketua pembangkang untuk dibawa ke Parlimen pada Julai 2019.

SEDAR Malaysia juga akan menganjurkan siri jelajah seluruh Malaysia bagi mengedarkan petisyen berkenaan secara bersemuka.

Menurut Nazrin, petisyen tersebut turut dihantar melalui emel kepada semua wakil rakyat sama ada daripada kerajaan dan juga pembangkang sejak 22 Disember lalu.

Mereka diberi masa sehingga pertengahan Januari depan untuk menurunkan tandatangan sama ada bersetuju dengan petisyen anti lompat parti dan peruntukan kewangan setara wakil rakyat itu atau tidak.

Kesemua jawapan daripada wakil-wakil rakyat tersebut akan didedahkan kepada umum selepas 16 Januari nanti.

Di bawah petisyen berkenaan, SEDAR Malaysia mencadangkan supaya mana-mana wakil rakyat yang berhenti, dipecat atau meletakkan jawatan dari parti politik untuk menjadi wakil bebas ataupun melompat parti hendaklah mengosongkan kerusi Parlimen mereka supaya pilihanraya baharu boleh diadakan secara automatik.

Ini bagi membolehkan mandat baharu diperoleh daripada pengundi yang telah memilih beliau berdasarkan parti politik yang diwakili semasa pilihanraya sebelumnya.

Wakil rakyat tersebut bagaimanapun masih layak untuk bertanding semula dan mewakili parti baharu disertainya dan mempertahankan kerusi tersebut.

“Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda kerana ia membatalkan kelayakan wakil rakyat yang telah meletak jawatan dari Dewan Rakyat daripada bertanding dalam pilihanraya umum untuk tempoh lima tahun dari tarikh peletakan jawatannya.

Selain itu, SEDAR Malaysia juga menggesa supaya kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan supaya memberikan peruntukan yang sama rata kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Jelas Nazrin, rakyat tidak wajar dihukum di atas keputusan mereka untuk mengundi wakil rakyat pembangkang dengan menyekat bantuan kepada mereka.

“Saya maklum bahawa perkara ini telah diamalkan sejak Barisan Nasional masih menjadi pemerintah namun dengan adanya sebuah kerajaan baharu, sepatutnya perkara-perkara tidak elok yang dilakukan oleh kerajaan dahulu sudah dihapuskan dan digantikan dengan dasar-dasar yang lebih baik.

“Tambahan pula, apabila peruntukan setara diberikan kepada semua wakil rakyat, isu lompat parti tidak sepatutnya timbul lagi kerana wakil-wakil rakyat pembangkang tidak lagi mempunyai alasan mereka kasihan melihat rakyat dan susah untuk berkhidmat akibat kurang peruntukan,” tegasnya.

Ketika ini ahli parlimen daripada parti pemerintah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kawasan pilihanraya dan RM200,000 untuk pusat khidmat masing-masing manakala wakil rakyat pembangkang hanya menerima RM100,000 untuk kawasan pilihanraya masing-masing.

Diskriminasi peruntukan itu ibarat satu hukuman kepada rakyat Malaysia yang tidak mengundi kerajaan, katanya.-MalaysiaGazette