GEORGE TOWN – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika bertitah mengenai insiden yang menimpa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terkorban ketika menjalankan tugas.
Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak menyifatkan Allahyarham Muhammad Adib, 24, sebagai seorang wira terbilang, berani, cekal dan berwibawa yang terkorban demi negara selepas cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis lalu.
“Sesungguhnya Muhammad Adib ialah seorang wira terbilang, berani, cekal lagi berwibawa telah terkorban untuk negaranya. Semoga ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja Muhammad Adib dianugerahi Illahi dengan ketabahan dan kesabaran menghadapi peristiwa pahit ini,” titah baginda pada majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu dan mahu keadilan untuk anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba Subang Jaya itu ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah yang disifatkan sebagai kejam itu dibawa ke muka pengadilan serta tidak terlepas daripada hukuman setimpal.
“Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib. Demi memastikan undang-undang didaulatkan dan keadilan tidak tercicir, segala usaha hendaklah dilaksanakan, untuk mencari tangan-tangan yang bergelumang dosa, melakukan jenayah yang sungguh kejam, hingga mengakibatkan Muhammad Adib menemui ajal, dan kaum keluarga Muhammad Adib dilanda duka nestapa.
“Kepada Allah kita pohonkan akan berlaku keadilan setimpal, memastikan pihak yang bersalah, dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini, tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan,” titah baginda dalam nada tersekat-sekat sambil menyeka air mata.
Sultan Nazrin bertitah negara dihujani gerimis hiba pada pagi 18 Dis, sebaik jenazah Muhammad Adib diterbangkan untuk diabadikan selama-lamanya di Kuala Kedah, empat hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk beliau diijabkabulkan dengan Nurul Najihah Mohd Rodzi.
“Atas nama negara, beta menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada Encik Mohd Kassim Abdul Hamid, Puan Azma Aziz dan Cik Nurul Najihah serta seluruh keluarga atas pemergian Muhammad Adib secara tragik.
Sebelum mengakhiri titah ucapannya, Sultan Nazrin turut meminta para hadirin membaca surah al-Fatihah sebagai sedekah kepada Allahyarham Muhammad Adib yang terkorban dalam insiden itu.
Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah negara akan berada dalam keadaan aman dan rakyat dapat hidup dalam suasana harmoni selagi undang-undang dipatuhi dan dihormati.
Sebaliknya, apabila undang-undang dipinggirkan dan manusia memilih kekuatan atau kelebihan dengan menggunakan jawatan, kekayaan, kekerasan, rasuah, nafsu dan tipu helah maka semakin ramai insan yang tidak berdosa menjadi mangsa.
Mengambil contoh insiden rusuhan yang menimpa Muhammad Adib, Sultan Nazrin bertitah pertikaian milik tapak tanah antara jawatankuasa kuil dan pemaju hartanah telah mendorong beberapa pihak mengetepikan proses undang-undang dan bereksperimen dengan kaedah penyelesaian yang mengumpan kepada berlakunya malapetaka yang sepatutnya tidak berlaku.
“Negara Malaysia, diasaskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) sebagai negara yang rakyatnya, walaupun terdiri daripada pelbagai penganut agama dan kaum, memiliki sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan yang saling menyayangi, saling menghargai.
“Tetapi pada pagi 27 Nov 2018, sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan tersebut bagaikan lenyap dan menyejat dengan berlakunya rusuhan di sebuah kuil yang terletak di Seafield, Subang Jaya. Undang-undang telah disisihkan oleh manusia-manusia yang bertindak ganas kerana dipengaruhi prasangka dan emosi,” titah baginda.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan watikah kepada 14 anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan 25 orang hakim dan pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
— BERNAMA