Home Ekonomi Tempahan Proton X70 hampir 300 unit sehari

Tempahan Proton X70 hampir 300 unit sehari

proton x70
X70 terus mengungguli jualan SUV dalam pasaran tempatan.

KUALA LUMPUR- Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diperkenalkan Proton Holdings Bhd dengan kerjasama Zhejiang Geely Holding Group dari China, menerima 200 hingga 300 tempahan sehari sejak ia dilancarkan secara rasmi dua minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata lebih 60 peratus tempahan adalah untuk varian premium yang menunjukkan pembeli tertarik dengan ciri-cirinya dan tahap peralatannya dan berpandangan ia adalah berbaloi.

Dilancarkan pada 12 Disember, SUV itu ditawarkan dalam empat varian.

X70 yang menerapkan ciri-ciri model terbaik Boyou Geely akan dihasilkan sepenuhnya di China dan diimport sebagai unit siap bina (CBU) ke Malaysia.

Proton dan Geely bercadang mengeluarkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) di kilang Proton di Tanjung Malim sebagai pemasangan tempatan (CKD) tahun depan dengan pelaburan RM1.2 bilion.

Abdul Rashid berkata, dengan kilang di Tanjung Malim di naik taraf untuk pengeluaran RHD SUV berkenaan, Proton boleh menjual seberapa banyak unit CBU X70 melalui permit import sambil menunggu barisan pengeluaran CKD siap sekitar Oktober 2019.

X70 dilengkapi teknologi komunikasi mudah alih, sistem maklumat kokpit bersepadu maju yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna selain keupayaan untuk disambungkan dengan peralatan mudah alih.

Proton menawarkan pembeli X70 pakej tambah nilai khas termasuk alat ganti dan kos buruh percuma untuk servis pertama selain kos buruh percuma untuk lima servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

Ia juga menawarkan kadar faedah rendah bermula 2.34 peratus setahun untuk pembeli yang layak, jaminan perbatuan tidak terhad sehingga lima tahun dan data internet satu gigabait sebulan untuk lima tahun.

“Tempahan baru X70 berpeluang menerima kereta berkenaan dalam masa dua ke tiga bulan daripada tarikh tempahan, bergantung kepada varian dan warna yang dipilih,” kata Abdul Rashid. – BERNAMA