Home Politik Tok Pa kagum Bersatu perjuang agenda Bumiputera

Tok Pa kagum Bersatu perjuang agenda Bumiputera

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa kagum beliau dengan semangat parti itu dalam memperjuangkan agenda Bumiputera.

Jelas beliau, ucapan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mencadangkan kepada Majlis Pakatan Harapan (PH) agar Agenda Bumiputera dijadikan Dasar Teras Pakatan Harapan dan diterima oleh Kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu agenda nasional.

“Sebagai ahli biasa saya kagum dengan nada juang dan semangat Armada dan Srikandi.

“Saya ucap tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin amat tegas menyatakan pendirian dalam memperjuangkan agenda ekonomi Bumiputera, kita tahu bahawa diluar sana ada lagi masih pertikaian hasrat kerajaan PH untuk memperjuangkan agenda Bumiputera.

“Yang penting ialah pelaksanaan dalam penambahbaikan yang perlu dibuat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.

Ujarnya, usaha Bersatu dalam memastikan agenda Bumiputera terus diperkukuhkan diharap menjadi menjadi agenda utama kerajaan PH.

“Dengan nafas baharu ini dan pemantauan dan pelaksanaan yang mantap kita harap agenda Bumiputera akan terbela.

“Ini kerana suasana politik di negara ini semakin kompetitif dan rakyat sudah pasti akan memberi kepercayaan kepada pihak yang mempunyai dasar yang mantap dan kemampuan untuk melaksanakannya,” katanya lagi.

Mustapa Mohamed atau Tok Pa menyertai Bersatu pada 27 Oktober lalu setelah bertindak keluar UMNO.

Muhyiddin berkata Bersatu akan memperjuangkan satu dasar Agenda Bumiputera baharu yang akan benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan bumiputera seluruhnya.

Beliau berkata, Agenda Bumiputera yang baharu itu akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama atau equitable shared prosperity.

“Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama di mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan.

“Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah,” katanya. -MalaysiaGazette