Home Politik UMNO, Pas dua kali lima sahaja – Muhyiddin

UMNO, Pas dua kali lima sahaja – Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menasihati umat Islam di negara ini agar berjaga-jaga dengan fitnah yang dijaja oleh UMNO dan Pas.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin menegaskan, jika dibiarkan umat Islam akan binasa kerana termakan hasutan kedua-dua parti ini.

Beliau turut berpesan kepada kedua- dua parti itu jangan mimpi di siang hari sekiranya UMNO dan Pas menyangka mereka boleh menang pilihanraya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama.

“Jauh panggang dari api. Orang Melayu sudah kenal siapa UMNO, siapa Pas. Kedua-duanya dua kali lima sahaja.

“Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak.

“Orang Melayu akan tetap ingat sewaktu UMNO berkuasa dahulu, kedua- dua parti ini sanggup bermain kayu tiga dan berkhalwat semata-mata untuk meraih laba politik.

“Bermacam-macam hujah dan istilah Islamik digunakan untuk mewajarkan perbuatan khalwat mereka. Kononnya, mereka berta’awun sesama Islam.

“Bila kita beritahu mereka pelbagai skandal dilakukan oleh pemimpin Umno, mereka kata tabayyun dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Perhimpunan yang bermula hari ini hingga Ahad berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Lebih 1,000 perwakilan hadir melibatkan 99 bahagian Srikandi manakala 115 pula adalah Armada.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berpendapat UMNO sepatutnya belajar dari sejarah dan tidak perlu menjadi hidung tak mancung pipi tersorong-sorong hendak berpakat dengan Pas.

“Cerita UMNO berpakat dengan Pas ini dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata.

“Baru beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka. Pemimpin Umno dan Pas berpegang tangan dan berpeluk cium sesama mereka.

“Terujalah ahli-ahli UMNO kononnya inilah masanya kesatuan politik orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina. Ini satu detik yang amat bersejarah bagi mereka. Seolah-olahnya, kalau pilihanraya diadakan esok, Umno dan Pas akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baharu,” katanya.

Tambah Muhyidin, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba tidak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli UMNO keluar parti.

Menurutnya lebih menyedihkan lagi buat UMNO, Presiden Pas beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana bahtera
UMNO sedang bocor.

“Pas takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan UMNO.

“Apa maknanya ini? Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan Pas dan Pas bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai.

“Pas hanya mementingkan partinya sendiri. Ia sebuah parti yang meletakkan Islam pada namanya, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

“Jadi, tidak perlulah lagi Umno bermimpi di siang hari untuk berpakat dengan Pas dan kembali berkuasa,” katanya.

Muhyiddin juga yakin Pas tidak mungkin akan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan kerana sikapnya yang ekstrem.

“Pas tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat untuk membentuk kerajaan.

  • “Selagi Pas tidak mengubah sikap dan pendekatan politiknya, bagi saya parti itu akan jadi pembangkang buat selama- lamanya,” katanya. – MalaysiaGazette