Home Sukan Arsenal buat tawaran kepada Pereira

Arsenal buat tawaran kepada Pereira

Andreas Pereira. - Foto Sky Sports.

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira kini sedang diburu tiga kelab memandangkan kontraknya akan tamat pada hujung musim ini.

Mtero.uk.com melaporkan ejen Pereira memberitahu pemain berusia 22 tahun itu menerima tawaran rasmi daripada Arsenal, Everton dan West Ham.

Laporan tersebut mendakwa pemain antarabangsa Brazil itu akan memutuskan mengenai masa depannya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Namun Pereira dikatakan lebih tertarik dengan tawaran daripada Arsenal.

Pereira beraksi cemerlang ketika dipinjamkan ke Sevilla musim lalu dan dijangka memberi impak kepada United musim ini.

Bagaimanapun Pereira hanya melakukan tujuh penampilan dalam semua perlawanan musim ini dan sering disisihkan Jose Mourinho.

Namun kehadiran Ole Gunnar Solskjaer ke United seolah-olah memberi sinar baharu kepada Pereira yang menunggu saat diturunkan lebih kerap.

Pada masa sama, Pereira akan bertemu dengan Solskjaer dan beberapa kakitangan kejurulatihan United sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya.

Solskjaer sudah memberi jaminan kepada pemain United itu bahawa mereka akan diberikan peluang untuk menonjol selepas pemergian Mourinho.

Sementara itu, Arsenal dilaporkan terdesak untuk memantapkan barisan tengah mereka sebaik sahaja jendela perpindahan pemain dibuka semula bulan depan.

Pengurusnya Unai Emery turut menjadikan pemain tengah Sevilla, Ever Banega sebagai sasaran utamanya ketika ini. – MalaysiaGazette