PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengingatkan pucuk pimpinan parti itu agar tidak menjadikan Bersatu sebagai UMNO 2.0 atau UMNO 3.0.
Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Bersatu tidak perlu menjadi seperti UMNO kerana parti itu merupakan sebuah parti yang sangat progresif.
Malah, sekiranya perkara itu berlaku katanya, Armada mencabar Bersatu untuk langkah angkatan itu terlebih dahulu kerana kemenangan parti berkenaan pada pilihan raya umum lalu adalah dengan sokongan Armada.
“Selamanya Bersatu tidak akan jadi UMNO. Bersatu tidak perlu ada sogok menyogok dalam politik.
“Bersatu tidak perlu jual negara untuk survival politik. Bersatu tidak perlu hipokrit dan mainkan isu perkauman untuk
politik.
“Menang atau kalah di Putrajaya, Bersatu tidak boleh dan tidak akan sesekali menggunakan amalan dan cara UMNO untuk survival politik. Ini yang membezakan kita dan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Armada pada Perhimpunan Armada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menggesa pucuk pimpinan Bersatu mengenakan syarat yang seketat-ketatnya kepada pimpinan UMNO yang lompat parti.
“Semak salah laku! Isytihar harta! Tak usah fikir jawatan penting akan diberi! Paling penting, mohon maaf kepada rakyat!
“Buat apa kita terima bekas-bekas UMNO jika mereka ini melompat masuk semata-mata harta dan nama? Bersatu bukan parti harta dan nama. Bersatu adalah parti bangsa dan tanah air!,” ujarnya lagi.
Syed Saddiq turut mengingatkan agar pimpinan tertinggi supaya sentiasa,meletakkan Armada dalam posisi yang betul dan tepat untuk Bersatu.
Jelasnya, UMNO jatuh kerana sikap pemimpin tertinggi mereka yang mengabaikan kumpulan anak muda.
“Bersatu tidak boleh menyesal pada hari esok. Jangan sesekali kata Armada tidak ingatkan pimpinan tertinggi parti.
“Saat Bersatu menyesal, ia sudah terlambat. Percayalah, sudah terlambat,” katanya. – MalaysiaGazette