Home Politik Perwakilan bahas keperluan bantu orang Melayu

Perwakilan bahas keperluan bantu orang Melayu

Bersatu
Para perwakilan bersorak semangat ketika mendengar Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Para perwakilan yang terlibat dalam sesi perbahasan tertutup Pemuda Bersatu membahaskan keperluan terhadap dasar bagi membantu orang Melayu yang memerlukan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang media selepas perbahasan itu.

Katanya, perwakilan membangkitkan kepentingan dasar untuk berlaku adil kepada golongan B40 (berpendapatan rendah) dan bukannya mereka yang sudah kaya.

“Sebagai contoh, tiada fokus khusus kepada B40 dalam soal perumahan, diskaun masih diberikan kepada orang Melayu yang bergaji atau memiliki aset mencecah RM1 juta.

“Sedangkan ia sepatutnya diberikan kepada orang Melayu dalam kategori B40 dan jumlah mereka agak ramai,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, perwakilan menyokong gesaan Srikandi Bersatu agar pengambilan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditumpukan kepada golongan itu.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, perwakilan turut menggesa golongan muda agar diberi peranan sebagai ketua kampung, serta menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan bagi memberi ruang kepada mereka terlibat dalam pembangunan negara.

Tambahnya, topik lain yang dibahaskan adalah keadaan pekerjaan di masa depan serta penguasaan bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette