Home Nasional Polis risau lambakan ganja

Polis risau lambakan ganja

Mohamad Fuzi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berucap pada Majlis Raikan Cinta Raja Sehari Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 29 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Polis khuatir akan berlaku lambakan ganja yang diseludup menerusi sempadan Malaysia-Thailand ekoran tindakan negara jiran itu menghalalkan ganja untuk tujuan perubatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagi mengelak ia tidak berlaku, pihaknya akan menggandakan usaha mempertingkatkan kawalan di sempadan negara.

“Bagi pandangan polis di sini, itu keputusan Thailand dan kita tidak boleh mencampurinya.

“Tapi kekhuatiran kita ialah mungkin lambakan ganja akan diseludup masuk ke negara kita dan itu sekadar spekulasi kami.

“Tapi kawalan akan diperketatkan di sempadan negara nanti bukan sahaja ganja tetapi juga dadah lain tidak dibawa masuk ke sini,” katanya dalam sidang media Majlis Raikan Cinta Raja Sehari yang melibatkan 20 pasangan warga PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Tambah beliau, polis sudah mengemukakan pandangan tidak bersetuju dengan langkah menghalalkan ganja di negara ini.

“Ia hanya akan merumitkan lagi penagihan dadah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Fuzi mengakui kadar jenayah di negara ini turun lebih 10.7 peratus pada November 2018.

“Walaupun indeks jenayah menurun, tetapi persepsi awam masih di tahap tidak memuaskan dan ini yang sedang kita usahakan untuk meyakinkan rakyat.

“Ini bermakna kita belum sampai ke tahap indeks jenayah turun dengan memuaskan dan perangi rasuah dalam kalangan pegawai polis dan kegiatan judi antara fokus kami untuk dicegah tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette