Home Nasional Saya sedia dituduh rasis – Dr Mahathir

Saya sedia dituduh rasis – Dr Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia dituduh rasis kerana mendedahkan nasib orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan selama lebih 70 tahun, beliau telah melihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsanya sendiri.

“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan dan sedarlah bahawa kita yang salah.

“Tak usah cari kesalahan orang lain kerana pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.

“Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kedua di sini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,200 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dr Mahathir menambah, pesanan diberikan kerana peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada dan mungkin tidak.

Justeru kata bekas Perdana Menteri keempat itu, peluang yang diperolehi pada PAT ini tidak boleh dilepaskan.

“Kita bersidang bukan kerana perlembagaan kita suruh kita bersidang, bukan kerana takut ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Kita bersidang kerana kita berhasrat menyelamatkan orang Melayu.

“Kita bersidang kerana kita ingin majukan orang Melayu dan kita bersidang kerana kita berhasrat memulihkan maruah bangsa kita. Inilah tujuan kita berpolitik dan bukan kerana nak jadi Perdana Menteri, atau Menteri, atau Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan menambah modal perniagaan dan membuka lebih banyak peluang serta lesen serta kontrak kepada kaum wanita termasuk di kampung.

Ini kerana, katanya, di mana-mana sahaja pada hari ini didapati kejayaan tinggi telah dibuktikan oleh golongan itu.

Beliau berkata, dalam percubaan Dasar Ekonomi Baru menunjukkan kaum wanita lebih serius dan berjaya daripada lelaki.

Jelas beliau, ada di antara mereka yang menjadi jutawan hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita.

“Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik. Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi.

“Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baharu kepada mereka. Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran bagi mereka akan ditambah.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

+ posts