Home Nasional Tabung Haji bukan jual aset rugi pada SPV – Najib

Tabung Haji bukan jual aset rugi pada SPV – Najib

Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan diminta mengeluarkan senarai penuh aset-aset Lembaga Tabung Haji yang akan dipindahkan kepada syarikat bertujuan khas (SPV).

Malah, kementerian itu perlu menjelaskan mengapa dan bagaimana aset-aset berkenaan dipilih untuk dijual.

Datuk Seri Najib Razak berkata, aset-aset yang dijual kepada SPV semalam merupakan syarikat yang mempunyai prestasi keuntungan yang baik dan bukan syarikat yang rugi seperti kriteria diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Ia termasuk Malakoff Corporation Bhd (500 juta saham dipindahkan), UEM Sunrise Bhd (348.87 juta saham), IJM Corporation Bhd (227.31 juta saham), Hap Seng Plantations Holdings Bhd (66.07 juta saham), Dayang Enterprise Holdings Bhd (76.37 juta saham) and Pintaras Jaya Bhd (11.35 juta saham).

Yang lain termasuk Naim Holdings Bhd (24.83 juta saham dipindahkan), Integrated Logistics Bhd (20.58 juta saham), Eastern & Oriental Bhd (94.25 juta saham), Pelikan International Corporation Bhd (157.19 juta saham), Icon Offshore Bhd (103.61 juta saham) dan TH Heavy Engineering Bhd (334.16 juta saham).

“Satu contoh ialah syarikat IJM Corporation Berhad. Saya tengok harga saham IJM agak stabil untuk tahun-tahun kebelakangan sehingga akhir tahun 2017. Syarikat itu juga tetap membayar dividen setiap tahun.

“IJM bukan sebuah syarikat yang rugi tetapi mempunyai prestasi keuntungan yang baik. Semalam, 227.31 juta saham dalam IJM telah dijual oleh TH kepada SPV di mana harga saham di Bursa semalam hanya RM1.63 berbanding harga RM3.05 pada akhir tahun 2017.

“Satu lagi syarikat yang juga dijual ialah syarikat Malakoff. TH menjual 500 juta saham dalam syarikat ini kepada SPV semalam. Bulan lepas, Malakoff baru mencatatkan keuntungan bersih untuk suku ke-3 telah naik 30% berbanding tahun lepas,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Perpindahan aset-aset milik Tabung Haji itu dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas organisasi itu dilaporkan mengalami defisit pada akhir tahun 2017 kerana terlebih bayar dividen kepada pencarum selama empat tahun berturut-turut.

Disebabkan itu, aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 bilion dijual kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.

Syarikat SPV ini akan meminjam RM19.9 bilion dari Tabung Haji dengan kadar faedah 2.5 peratus setahun untuk membeli aset-aset yang tidak baik ataupun aset yang rugi. – MalaysiaGazette