Home Utama Tun M akui rakyat sudah bosan dan tidak beri perhatian

Tun M akui rakyat sudah bosan dan tidak beri perhatian

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad melambaikan tangan ke arah jurugambar sambil diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) sebaik tiba pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rakyat kini sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu sebaliknya hanya ingin melihat hasil pemulihan negara oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Malah Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ramai rakyat juga yang tidak lagi memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu.

Perdana Menteri berkata, pemimpin dahulu pula dengan lantang pula cuba mengajar kerajaan tentang cara-cara menangani masalah yang ditinggal oleh mereka.

“Jika mereka begitu pandai, kenapakah mereka tidak betulkan kerosakan semasa memerintah?

“Di dalam negara, Peguam Negara telah memulakan langkah-langkah awal untuk mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu atas kesalahan salah-guna kuasa dan rasuah oleh mereka.

“Tindakan yang diambil ke atas mereka bukan disebabkan oleh perasaan balas dendam oleh kerajaan tetapi hanya kerana menghormati pemerintahan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,210 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dr Mahathir menambah, amat mengecewakan apabila ada yang menolak kesalahan yang jelas telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu.

Jelas beliau, jika kesalahan mereka tidak diproses mengikut undang-undang maka kerajaan akan dituduh melepas geram dan membalas dendam.

Namun menurutnya, proses undang-undang mengambil masa apabila kerajaan memerintah mengikut undang-undang dan rakyat perlu menerima kelewatan proses itu.

“Sudah tentu percubaan pemimpin-pemimpin dahulu untuk sekarang menjadi juara orang Melayu dengan mengambil bahagian dalam demonstrasi baru-baru ini tidak ikhlas.

“Rakyat tidak akan tertipu dengan perbuatan ini. Jika mereka ikhlas, masalah yang kita hadapi tidak akan berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette