KUALA LUMPUR – Pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan ‘pilih bulu’ itu terus mendapat kritikan dalam kalangan ahli-ahli partinya sendiri.
Malah hampir kebanyakan pelantikan itu didakwa dibuat lebih ke arah usaha ‘memenangkan’ kem Rafizi Ramli walaupun sokongan akar umbi menyaksikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Geng Rafizi dikenali Invoke dan Mohamed Azmin pula Muafakat.
Terbaharu, mantan Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Gunasekaran Kuppan yang mendakwa pelantikan yang dilakukan sebenarnya sangat berat sebelah.
Malah, katanya, pelantikan itu juga seolah-olah tidak masuk akal serta mengejutkan ramai pihak.
Kata beliau kepada Malaysia Gazette, rata-rata ahli PKR kini gundah gulana berikutan isu berkenaan dan mendakwa sudah mula wujud krisis kepercayaan dalam kalangan mereka kerana rasa tidak puas hati sesama sendiri.
“Saya bukan berniat untuk membelakangkan keputusan oleh presiden parti malah kami sangat menghormati keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau. Namun, apabila ada rasa tidak senang, ada baiknya kita luahkan juga.
“Semua pihak sebenarnya perlu diberikan ruang tanpa belah bahagi atas prinsip keadilan, itu yang betul dan ini adalah prinsip berjuangan parti kita juga tetapi apa yang kita saksikan kini, rata-rata lantikan Presiden PKR lebih memihak kepada kem Rafizi sahaja. Mengapa begitu?
“Apakah ini satu keperluan untuk terus melantik seorang lagi wakil pemimpin dalam kalangan komuniti Cina sebagai Naib Presiden iaitu Chang Li Kang apabila Tian Chua sudah menang jawatan tersebut? Apakah justifikasi dan penjelas Anwar kepada kita? Kami musykil.
“Kami juga mahu tahu apakah sebenarnya kewajaran keputusan melantik anak Rahim Ghouse iaitu Rayyan Ghouse sebagai MPP apabila sudah menang dalam Majlis Pimpinan Wanita Pusat? Mengapa?
“Kenapa kebanyakan yang telah dilantik sebenarnya adalah ‘kem’ satu pihak sahaja dan yang mendapat sokongan akar umbi pula tidak dilantik, adakah setiap lantikan ini dibuat secara musyawarah atau sebaliknya. Ramai dalam kalangan kami sangat keliru,” katanya hari ini.
Gunasekaran mengulas lantikan MPP dibuat semalam yang mengundang pelbagai reaksi termasuk Mohamed Azmin semalam.
Mohamed Azmin menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepemimpinan parti.
Jelas beliau. pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’ terhadap aspirasi ahli parti.
Tegas Mohamed Azmin dengan lantang, pelantikan MPP juga harus dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.
Ia susulan pelantikan Rafizi – bekas Ahli Parlimen Pandan yang tewas dalam pemilihan parti November lalu sebagai naib presiden dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai Setiausaha Agung PKR.
Gunasekaran turut melontar persoalan mengapa tidak ada calon pemimpin dalam kalangan Sabah walaupun hakikatnya selepas Selangor, antara ahli teramai adalah dari negeri tersebut.
“Kami juga perlu perlukan wakil dari Sabah apabila kita sudah ada pemimpin dari negeri Sarawak iaitu Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.
“Dengan tidak melantik wakil dari negeri ini, jelas sekali tidak hormat mereka dari Sabah. Pelantikan naib presiden dari Sabah amat diperlukan kerana kekuatan Sabah semakin meningkat juga.
“Semua pihak sepatutnya mempertahankan amalan demokrasi yang menjadi asas kekuatan PKR. Presiden juga sebenarnya perlu mendengar suara akar umbi dan lebih inklusif, kami resah di sini,” tegasnya.
Berikut senarai penjawat jawatan lantikan yang diumumkan semalam:
- Naib presiden (lantikan): Rafizi Ramli
- Naib presiden (lantikan): Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim)
- Naib Presiden (lantikan): Ali Biju (Ahli Parlimen Saratok)
- Setiausaha agung: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu)
- Bendahari agung: Lee Chean Chung (Adun Semambu)
- Ketua penerangan: Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya)
- Setiausaha pengelola: Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa)
- Ahli MPP (lantikan): Lee Khai Loon (Adun Machang Bubok)
- Ahli MPP (lantikan): Faisal Sanusi
- Ahli MPP (lantikan): Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang)
- Ahli MPP (lantikan): Rayyan Abdul Rahim
- Ahli MPP (lantikan): Raymond Ahuar
- Ahli MPP (lantikan): S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput)
- Pengarah strategi: Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal)
- Pengarah komunikasi: Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
- Timbalan setiausaha agung: Dr Seri R Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat)
- Timbalan ketua penerangan: Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)
- Timbalan ketua penerangan: S Manivanan.- MalaysiaGazette