Home Dunia Gunung Agung kembali meletus selepas beberapa bulan “bertenang”

Gunung Agung kembali meletus selepas beberapa bulan “bertenang”

Gunung Agung di Bali yang "tenang" beberapa bulan ini, kembali meletus semalam.

JAKARTA – Gunung Agung di Bali yang “tenang” beberapa bulan ini, kembali meletus hari ini.

Letusan hari ini itu berlaku kira-kira tiga minit dan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) kini meletakkan status tiga atau siaga, berikutan letusan terbaru itu.

Menurut PVMBG, gunung berapi yang terletak di Karangasem, Bali kembali meletus jam 4.09 pagi waktu Indonesia Timur.

Orang ramai atau pelancong diarahkan tidak melakukan pendakian ke gunung itu dan diarahkan tidak melakukan sebarang aktiviti di lingkungan radius 4 kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Sementara itu media Indonesia melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali masih beroperasi seperti biasa setakat ini.

Gunung berapi aktif di Bali itu kembali meletus pada Jun lepas dan aktif meletus sehingga Julai sebelum kembali “tenang” selepas itu.

Letusan pada Julai lepas turut menyebabkan ribuan pelancong terkandas di pulau peranginan terkemuka itu apabila lapangan terbang ditutup akibat asap dan debu gunung berapi menggangu operasi penerbangan.

Kali terakhir letusan kuat Gunung Agung berlaku adalah pada 1963 yang menyebabkan lebih 1,000 orang maut dan beberapa kampung di cerun gunung musnah.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata mereka memantau perkembangan terkini itu dan meminta rakyat Malaysia yang berada di Bali mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.

— BERNAMA