Home Politik Hairan Muhyiddin gunakan PAT bincang isu UMNO

Hairan Muhyiddin gunakan PAT bincang isu UMNO

Khaled
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hairan mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan platform Perhimpunan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menjelaskan pandanganya terhadap UMNO.

Sepatutnya, selaku Presiden Bersatu, Menteri Dalam Negeri itu memberi pedoman kepada Armada dan Srikandi Bersatu untuk membawa hala tuju Melayu dan Malaysia selepas memenangi PRU-14.

Namun, sebaliknya perihal UMNO yang dibicarakan dengan serius dan panjang lebar sedangkan dalam keadaan sekarang UMNO berada pada kedudukan paling susut dalam hayatnya.

“Maknanya, jika UMNO yang berada dalam keadaan sekarang pun terus menghantui beliau, bayangkan jika UMNO ini berjaya kita pulihkan sedikit masa lagi.

“Barangkali tidak mustahil Bersatu terpaksa mengadakan perhimpunan khas hanya untuk berbicara tentang UMNO,” sindir Khaled.

Naib Presiden UMNO itu turut menafikan tohmahan Muhyiddin yang mendakwa parti itu menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan setelah kalah PRU14.

Tegas beliau, UMNO sentiasa konsisten dalam pendiriannya berkaitan Islam dan bangsa Melayu.

Malah, Agenda Melayu, kedudukan Islam dan masa depan terbaik untuk Malaysia yang majmuk adalah tiga mantera utama UMNO dari dulu, kini dan selamanya.

“Semua orang boleh menyemak perkara ini. Tiada pendirian yang berdolak dalih. Tiada pendekatan yang bertukar-tukar,” katanya yang memberitahu sekarang wujud ancaman sistematik daripada Pakatan Harapan yang bertopengkan ‘kebebasan’ terhadap kepentingan bangsa Melayu dan Islam.

Namun, katanya, Bersatu tak mampu berbuat apa-apa melainkan membisu dan mengikut tekanan liberal Pakatan Harapan kerana parti itu celaru, keliru dan buntu serta tidak konsisten kerana ia diwujudkan tanpa pasak ideologi.

Berbanding dengan perjuangan UMNO tidak apologetik dalam pendiriannya terhadap kedudukan Islam dan bangsa Melayu, ketuanan Melayu dan hak-hak Melayu.

“Jika UMNO tidak sederhana dalam pendiriannya, masakan UMNO boleh memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia selama kami diberi amanah selama enam dekad lepas,” ujarnya.

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, UMNO tidak pernah mempunyai kerjasama formal dengan PAS kecuali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan isu yang mempunyai dampak negatif
terhadap negara.

Tegasnya, adalah lebih elok untuk UMNO mendahulukan kerjasama strategik bersama PAS dalam hal-hal tertentu, daripada menjadi sahabat kepada DAP seperti Bersatu.

Ketika memperlekeh kerjasama PAS bersama UMNO, Muhyiddin sepatutnya sedar betapa sukarnya untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Bersatu bukan sahaja dilihat oleh parti-parti lain sebagai pemain kerdil yang hanya menunggu masa untuk lenyap, malah, agenda Melayu dan Islam adalah perkara yang perlu ditentang.

“Saya akui, kerjasama UMNO dan PAS, bukan sahaja tidak formal, malah yang demikian itu bukan juga satu formula politik yang terbaik. Tetapi sekurang-kurangnya, kerjasama ini dapat membawa suara keresahan orang Melayu yang sudah lama terpendam sepanjang tempoh pentadbiran Malaysia Baharu ini.

“Bukan sahaja keresahan ini semakin mendalam dan melebar. Lebih malang, Bersatu dengan liciknya berhasrat mengukuhkan kedudukan dengan cara paling tidak bermoral – iaitu meraih dan meraikan lompatan ahli Parlimen dan anggota UMNO untuk memperkuatkannya,” katanya lagi.

Khaled berkata, Muhyiddin perlu sedar perjalanan Bersatu masih jauh dan belum membuktikan apa-apa kepada orang Melayu dan Malaysia, selain menumpang tuah Pakatan Harapan dalam menumbangkan Barisan Nasional.

Yang paling penting, akar umbi Bersatu masih tidak merasai apa signifikannya parti itu dalam kehidupan mereka.

“Sesungguhnya, parti anda akan diuji keras atas apa yang anda kata dan launglaungkan. Semoga Tuhan memberi kekuatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette