JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di negeri ini mencukupi.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Aris Mamat berkata hal ini berikutan harga bahan bakar itu yang dijangka berubah pada 1 Januari ini dan pihaknya sudah memantau serta memeriksa 144 daripada 574 buah stesen minyak seluruh negeri ini.
Menurutnya, bekalan diesel di seluruh negeri adalah sebanyak 468,895 liter manakala RON95 sebanyak 1.6 juta liter dan RON97 sebanyak 269,551 liter.
“Kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil stesen minyak dan mesej peringatan serta amaran sudah diberi agar mereka tidak menutup premis tanpa memaklumkan kepada KPDNHEP terlebih dahulu.
Kita tidak akan berkompromi (tutup premis), malahan kesemua stesen juga akan beroperasi seperti biasa termasuk yang buka pada 18 hingga 24 jam dan kita akan pastikan mereka tidak terlebih atau terkurang jumlah jam operasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aris berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan ataupun mendapati situasi kehabisan stok di stesen-stesen di negeri ini melalui pemantauan dan pemeriksaan yang telah dijalankan.
“Kita juga menyeru orang ramai supaya jangan melakukan pembelian panik menjelang 1 Januari nanti dan mereka boleh salur maklumat kepada kita sekiranya ada stesen yang tutup secara sengaja dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau berkata setiap pemegang lesen runcit petrol dan diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diwajibkan mematuhi syarat di dalam lesen, termasuk bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada serta cukup untuk jualan harian.
Beliau berkata 250 pegawai penguatkuasa KPDNHEP Johor akan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen minyak bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
— BERNAMA