CAMERON HIGHLANDS – Bekas calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP bagi Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Biarpun tempoh kempen belum bermula, namun dalam siri Jelajah Jelai bersama Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini, Manogaran mula rancak bertemu pengundi di sekitar Pekan Ringlet dan beberapa perkampungan Orang Asli dalam parlimen itu.
Turut sama dalam Jelajah Jelai selama dua hari mulai hari ini Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia.
Meskipun Kit Siang beberapa kali tersasul menyebut ‘calon kita’ pada pertemuan bersama Orang Asli di Kampung Sungai Relong dekat sini, beliau dalam sidang media menafikan perkara itu.
Menurut Kit Siang, masih terlalu awal untuk menamakan calon sebenar bagi mewakili PH pada PRK berkenaan kerana untuk bertanding pilihan raya ia melibatkan pelbagai proses.
“Belum diputuskan dan akan diumumkan dalam beberapa hari,” katanya ringkas.
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan calon BN< Datuk C. Sivarraajh pada PRU-14 ekoran berlaku amalan rasuah di kawasan tersebut.
Pada PRU-14 Mei lalu, kerusi Cameron Highlands menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Manogaran tewas kepada Sivarrajh dengan majoriti 597 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Januari sebagai penamaan calon PRK itu sementara hari mengundi awal pada 22 Januari dan hari pengundian pada 26 Januari.- BERNAMA