PUTRAJAYA – Ahli-ahli UMNO yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu sedar diri sekiraya merasakan langkah mereka lompat parti bakal menjanjikan jawatan atau kontrak peribadi.
Teguran itu dibuat Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut beliau, pemimpin UMNO yang berfikiran demikian sebenarnya telah tersasar kerana mereka tidak akan mendapat apa-apa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Malah, apa yang paling penting katanya, perkara utama perlu mereka lakukan ialah memohon maaf kepada rakyat dan pemimpin Bersatu yang pernah mereka perlekehkan sebelum ini.
“Saya tengok mereka ini macam tiada rasa bersalah langsung. Sedar diri sikit, bermuhasabah diri sikit, ukur baju di badan sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu turut mengingatkan agar pemimpin UMNO yang lompat parti tidak sesekali meletakkan sebarang syarat sekiranya mahu menyertai Bersatu.
Ini kerana katanya, Bersatu yang kini merupakan sebahagian daripada parti dalam Pakatan Harapan (PH) merupakan kerajaan pada hari ini dan sepatutnya syarat-syarat itu dikenakan terhadap mereka.
“Patutnya sesiapa yang nak masuk, kitalah yang kenakan syarat. Kita sudah jadi kerajaan.
“Jangan harap jawatan dan imbuhan. Ahli-ahli kita sekarang ini tiada lagi jawatan apatah lagi yang masuk lepas PRU,” ujarnya.
Mukhriz berkata, bekas pemimpin UMNO juga tidak perlu berfikiran bahawa Bersatu tidak akan kekal dengan hanya ada 16 kerusi dalam Parlimen.
Katanya, mereka jangan cuba ‘melaga-lagakan’ pemimpin PH yang sememangnya kukuh sehingga berjaya mencapai kemenangan pada PRU-14 lalu.
“Kita tidak akan beri ruang kepada mereka-mereka yang cuba memecah-belahkan PH. Saya ingin nyatakan dengan jelas, kita akan sama-sama terajui kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri bersama Pakatan Harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
La nie pun depa wakil rakyat yang dapat senyum berteduh di bumbung PH kan ?