PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik cadangan perwakilan yang mahu Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya menyokong cadangan tersebut yang menggambarkan suara akar umbi ahli parti itu.
Beliau tidak nampak sebarang keburukan kepada negara sekiranya Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal.
Bagaimanapun ujar beliau, terpulang pada perbincangan antara pimpinan tertinggi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sama ada cadangan itu dapat dilaksanakan atau tidak.
“Srikandi menyambut baik perkara ini. Kita terima baik suara daripada akar umbi, perwakilan dan mendoakan kesihatan yang baik untuk Tun Mahathir.
“Tun Mahathir adalah orang yang berpengalaman dalam kerajaan, pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini dan sudah berdepan pelbagai dugaan serta cabaran ekonomi dan lain-lain.
“Sudah pasti kepakaran Tun Mahathir diperlukan untuk membantu menaikkan semula kegemilangan Malaysia khususnya dalam aspek ekonomi,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di sini hari ini.
PAT kali kedua itu yang memasuki hari terakhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Ketika sesi perbahasan ucapan dasar pengerusi pagi ini, beberapa perwakilan negeri Bersatu mencadangkan supaya Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU-15.
Sebelum PRU-14, PH telah membuat perjanjian untuk melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson. – MalaysiaGazette