Home Nasional Bapa simbah anak dengan air panas gara-gara dituduh curi RM10

Bapa simbah anak dengan air panas gara-gara dituduh curi RM10

GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah dengan air panas oleh bapanya sendiri selepas dia dituduh mencuri duit RM10 milik ibunya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia lapan tahun melecur di lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata kejadian itu disedari seorang lelaki yang juga jiran keluarga berkenaan dan kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.

“Kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan menerima rawatan di Wad C2 yang menempatkan pesakit yang mengalami kesan terbakar, doktor mendapati mangsa terbakar tiga peratus.

“Keadaan kanak-kanak itu stabil dan masih boleh berkomunikasi, namun kami menunggu mangsa pulih sepenuhnya untuk diambil keterangan,” katanya di sini hari ini.

Che Zaimani berkata siasatan awal polis mendapati mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan bapa mereka bekerja sebagai jurujual kad sim sebuah syarikat telekomunikasi di Bayan Baru, dekat sini.

Katanya lelaki yang juga jiran kepada keluarga itu turut mendakwa ibu bapa mangsa selalu mengabaikan mangsa dan adik beradiknya yang lain apabila mereka sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

Beliau berkata lelaki berusia 41 tahun dan isterinya seorang suri rumah telah melarikan diri kerana pemeriksaan polis di rumah dan tempat kerja mendapati mereka telah tiada.

“Siasatan awal mendapati mangsa disiram air panas oleh bapanya yang berang kerana dia dikatakan mencuri wang RM10 milik ibunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

— BERNAMA